Jawatankuasa Khas Kajian Enakmen Jenayah Syariah Kelantan ditubuhkan

Mohamed Fadzli
Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mengesahkan kerajaan negeri sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kajian Enakmen Jenayah Syariah.

Beliau berkata, keputusan penubuhan jawatankuasa itu diputuskan menerusi mesyuarat exco yang berlangsung pada Rabu.

"Penubuhan ini merupakan usaha memperkasa perlaksanaan undang-undang jenayah dan kedudukan Mahkamah Syariah di negeri ini.

"Esok Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan kes Nik Elin melawan Kerajaan Kelantan. Kita berharap dan menyeru kepada semua terutamanya rakyat negeri ini mendokan agar keputusan itu nanti berpihak kepada kita (Kelantan)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mohamed Fadzli memberitahu, jawatankuasa itu adalah langkah awal bagi berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan yang mungkin boleh berlaku termasuklah cabaran terhadap undang-undang jenayah Syariah pada masa akan datang.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan menegaskan, isu dalam petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 bukan bertujuan memburukkan agama Islam mahupun melemahkan kedudukan Mahkamah Syariah seperti yang diputarbelitkan pihak-pihak tertentu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebaliknya berkata, petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman hanya semata-mata berkaitan isu kompetensi Kerajaan Negeri Kelantan dalam menggubal undang-undang syariah.

Sehubungan itu, beliau menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa Mahkamah Syariah akan terkubur berikutan petisyen yang dikemukakan oleh dua beranak itu yang mencabar 18 peruntukan undang-undang dalam enakmen tersebut.