PBAPP minta bantuan SPAN laksana pembenihan awan di Empangan Air Itam

Kapasiti efektif Empangan Air Itam pada pagi Khamis adalah 32.8 peratus. Gambar kecil: Pathmanathan
Kapasiti efektif Empangan Air Itam pada pagi Khamis adalah 32.8 peratus. Gambar kecil: Pathmanathan
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) meminta bantuan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan operasi pembenihan awan di Empangan Air Itam dan Loji Rawatan Air (WTP) Air Itam dengan segera.

Sehingga pagi Khamis, kapasiti efektik Empangan Air Itam menunjukkan 32.8 peratus berbanding 85.1 peratus bagi Empangan Teluk Bahang dan 90 peratus bagi Empangan Mengkuang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata, pihaknya telah menulis surat kepada SPAN untuk bantuan segera itu pada 2 Februari lalu.

Menurutnya, menerusi surat berkenaan, PBAPP meminta Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman membantu dalam merancang dan melaksanakan operasi pembenihan awan pada Mac ini (musim antara monsun) bagi menyokong usaha PBAPP untuk meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam.

"Kami telah menyatakan bahawa operasi pembenihan awan adalah penting bagi PBAPP untuk mengekalkan perkhidmatan bekalan air berterusan di Air Itam. Ia bagi memanfaatkan kira-kira 30,000 pengguna air termasuk pengguna domestik dan bukan domestik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, PBAPP mengesahkan penurunan kapasiti efektif Empangan Air Itam yang merekodkan penyusutan sehingga paras 37.7 peratus adalah berpunca daripada musim panas dan kering ketika ini.

Penyusutan itu juga berlaku disebabkan air dari empangan tersebut turut digunakan untuk menampung keperluan pengguna di bahagian pulau selepas paip bawah air di dasar Sungai Perai pecah, awal bulan ini.

Pathmanathan menambah, PBAPP juga memaklumkan SPAN bahawa operasi pembenihan awan pada Mei dan Jun tahun lalu telah menyumbang kepada jumlah hujan sebanyak 30.5 milimeter (mm) di kawasan tadahan Empangan Air Itam dan LRA Air Itam.

Artikel Berkaitan:

"Hujan telah membantu memastikan tiada krisis air di Air Itam pada tahun lalu. PBAPP sedang menunggu maklumbalas SPAN untuk memulakan perbincangan awal berhubung cadangan operasi pembenihan awan," katanya lagi.

Jelas beliau, PBAPP akan mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Pulau Pinang pada minggu ini untuk melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024).

"Seperti yang dimaklumkan pada Jumaat lalu, di bawah AIDAP 2024, PBAPP mensasarkan untuk meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam secara beransur-ansur dengan melaksanakan beberapa tindakan.

"Antaranya mengurangkan pelepasan air dari empangan daripada aliran masuk purata air mentah ke dalam empangan setiap hari.

"Purata aliran masuk ke empangan ialah 15 juta liter sehari (JLH). PBAPP hanya akan melepaskan 11 JLH untuk disalurkan kepada LRA Air Itam," katanya.

Selain itu Pathmanathan berkata, PBAPP akan mengekalkan aliran masuk sebanyak 6 JLH daripada Muka Sauk Utama dan Muka Sauk Tat ke LRA Air Itam.

"Kita juga akan mengepam 33 JLH air terawat ke dalam kawasan perkhidmatan LRA Air Itam dari Rumah Pam Padang Brown.

"Air terawat datangnya dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai," jelasnya.

Tambah beliau, kejayaan AIDAP 2024 bergantung kepada beberapa faktor iaitu aliran masuk harian sebanyak 15 JLH air mentah ke dalam Empangan Air Itam dari Masuk Balik Pulau, Masuk Aliran Sisi dan Masuk Sungai Pinang Barat.

"Selain itu, ia juga bergantung kepada aliran masuk harian sebanyak 6 JLH air mentah ke LRA Air Itam dari Muka Sauk Utama dan Muka Sauk Tat.

"Oleh yang demikian, PBAPP memohon bantuan kerajaan Persekutuan untuk menjalankan operasi pembenihan awan bagi mendorong hujan sebanyak mungkin di kawasan tadahan air untuk lima muka sauk yang terlibat.

"Sementara itu, PBAPP juga merancang untuk mendapatkan pengesahan daripadaKerajaan Pulau Pinang pada minggu ini untuk memulakan AIDAP 2024," katanya.