Tragedi kepala air: Mayat budak lelaki ditemui, kaki tersangkut bawah akar

Mangsa kedua disahkan identiti Hafiy Muhayat Azam, 4, dijumpai dalam keadaan kaki tersangkut di bawah akar pokok dalam sungai kira-kira 600 meter dari tempat kejadian pada jam 9.50 malam.
Mangsa kedua disahkan identiti Hafiy Muhayat Azam, 4, dijumpai dalam keadaan kaki tersangkut di bawah akar pokok dalam sungai kira-kira 600 meter dari tempat kejadian pada jam 9.50 malam.
A
A
A

TAPAH - Seorang lagi mangsa kejadian kepala air di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh, Bidor di sini ditemui meninggal dunia pada Rabu.

Mangsa, Hafiy Muhayat Azam, 4, dijumpai dalam keadaan kaki tersangkut di bawah akar pokok dalam sungai kira-kira 600 meter dari tempat kejadian pada jam 9.50 malam.

Identiti mangsa disahkan ibu saudara, Aznur Radin Mustapha Amiruddin, 51, yang hadir membuat pengecaman di lokasi kejadian.

Bapa mangsa, Azam Radin Mustapha Amiruddin, 46, kelihatan sayu ketika ditemui di lokasi kejadian.
Bapa mangsa, Azam Radin Mustapha Amiruddin, 46, kelihatan sayu ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, mangsa dijumpai penduduk kampung yang turun membantu operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Penemuan ini menjadikan dua mangsa lagi masih hilang," katanya kepada pemberita.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, tujuh sekeluarga yang sedang menjalankan aktiviti berkelah di kawasan sungai terperangkap dalam kepala air.

Empat daripada mangsa iaitu seorang wanita bersama tiga anaknya hilang dihanyutkan arus deras sementara tiga lagi terselamat.

Artikel Berkaitan:

Jasad Aszura Bani, 37, ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung sekitar jam 4.30 petang.

Dua lagi mangsa yang masih hilang ialah Hanum Marissa, 2, dan kakaknya, Hanna Mikayla, 7.

Kejadian itu turut melibatkan kakak Aszura, Aslinda Bani, 38, dan anak lelakinya berusia 11 tahun, mereka bagaimanapun terselamat dalam kejadian itu.

Jasad Aszura Bani, 37, dan anak lelakinya, Hafiy Muhayat Azam, 4, sudah ditemui dalam operasi dijalankan pada Rabu, dua lagi masih hilang.
Jasad Aszura Bani, 37, dan anak lelakinya, Hafiy Muhayat Azam, 4, sudah ditemui dalam operasi dijalankan pada Rabu, dua lagi masih hilang.

Seorang lagi mangsa merupakan pengasuh wanita warga Indonesia berusia 30-an berjaya diselamatkan penduduk selepas berpaut pada batu besar iaitu kira-kira 100 meter dari lokasi perkelahan.

Sementara itu, penduduk, Muhammad Izwan Nordin, 26, berkata, sewaktu melakukan selaman di sungai berkenaan, dia ternampak satu objek seakan kaki budak di celah akar dibawah timbunan pokok.

Katanya, melihat keadaan itu, dia bersama enam rakan lain mengeluarkan mangsa sebelum berjaya membawanya ke tebing sungai.

"Mangsa ketika itu dalam keadaan mengiring, saya nampak ada beberapa kesan cedera di kepalanya, mengucap panjang saya apabila dapat sahkan yang saya jumpa itu adalah mangsa," katanya.

Muhammad Izwan yang bekerja sebagai buruh sawit berkata, ini kali pertama dia turut serta dalam operasi menyelamat dan terpanggil untuk menyertainya kerana mengenali ibu dan bapa mangsa.

"Ini kejadian pertama kepala air di sini dan mangsa terlibat pula kanak-kanak, saya dan penduduk kampung tak sampai hati.

"Kebetulan, bapa saya berniaga di tempat Encik Azam (ayah mangsa) bekerja, jadi saya kenal dengan mereka," katanya.