PEMILU 2024: Anies lelah, Prabowo samar-samar dan Ganjar…?

Dari kiri, Ganjar, Prabowo dan Anies berucap pada pusingan terakhir debat calon Presiden (Capres) di Jakarta, Indonesia. Foto AP
Dari kiri, Ganjar, Prabowo dan Anies berucap pada pusingan terakhir debat calon Presiden (Capres) di Jakarta, Indonesia. Foto AP
A
A
A

JAKARTA - Prestasi calon presiden Anies Baswedan, Prabowo Subianto dan Ganjar Pranowo pada pusingan terakhir Debat Capres yang berlangsung pada 4 Februari lalu dilihat sedikit menurun.

Menurut Pengarah Eksekutif Lingkar Madani, Ray Rangkuti, berdasarkan prestasi yang dipamerkan ketiga-tiga calon, Anies disifatkan kelihatan ‘lelah’, Prabowo masih samar-samar, manakala Ganjar adalah konsisten.

“Sebetulnya yang antiklimaks itu ialah Anies kerana jika dibandingkan prestasinya pada dua pusingan debat sebelumnya, (Anies) dilihat lebih menyerang tetapi tidak pada debat pamungkas.

“Ini menyebabkan tidak kelihatan dinamika ketika debat berlangsung di antara ketiga-tiga calon presiden.

“Anies kelihatan kelelahan, suaranya juga kedengaran serak. Jadi substantif, persembahan dan gaya Anies semuanya menurun,” katanya ketika ditemu bual Astro Awani.

Bagi prestasi Prabowo pula, beliau menyifatkan calon presiden itu semakin ‘kabur’ (kurang jelas), manakala Ganjar kelihatan konsisten dalam menyampaikan gagasan ideanya.

“Pak Prabowo kelihatan samar-samar tentang adakah beliau mahu melanjutkan program-program Jokowi kerana tidak kelihatan kesamaan idea antara Prabowo dan Jokowi.

“Kita mahu mendengar (pada debat terakhir) apa menjadi keunggulan program Jokowi sehingga mahu dilanjutkan.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi yang menjelaskan itu adalah, Ganjar yang mahu kedengaran akan meneruskan program Jokowi dengan beberapa penambahbaikan," katanya.

Tambah penganalisis politik itu, Ganjar menjelaskan lebih 80 peratus apa yang beliau telah lakukan di Jawa Tengah menerusi Rekam Jejak, untuk menunjukkan keberhasilan program yang dijalankannya.

“Prabowo hanya menjelaskan untuk meneruskan legasi Jokowi iaitu program hilirisasi dan projek Ibu Kota Nusantara (IKN), ditambah dengan dua program baharu pemberian makan siang dan susu gratis (percuma).

“Tidak ada penjelasan mengenai program Jokowi seperti tenaga kerja dan soal perlindungan wanita.

Sebelum ini, Indonesia Indicator dalam satu dapatan dan tinjauan di media sosial menyatakan berlaku penurunan tingkat interaksi dan pendedahan perhatian netizen terhadap Pemilu setelah berakhir Debat Capres ke-5.

Pemilih Indonesia akan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada 14 Februari ini melibatkan hampir 205 juta pengundi dalam dan luar negara.

Secara keseluruhan, lebih 20,000 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya perundangan Indonesia menerusi beberapa peringkat melibatkan kebangsaan, daerah (provinsi) dan kota (kabupaten). - Awani