Nasib 40 lelaki masih samar-samar

Pasukan penyelamat berkumpul di hadapan terowong yang runtuh di daerah Uttarkashi. - AFP
Pasukan penyelamat berkumpul di hadapan terowong yang runtuh di daerah Uttarkashi. - AFP
A
A
A

DEHRADUN - Pasukan penyelamat India terpaksa menggunakan mesin gerudi paling berkuasa dalam usaha terdesak mengeluarkan 40 pekerja masih terperangkap yang memasuki hari kelima dalam terowong runtuh di Uttarkhand, negeri Himalaya.

Ketika ini, jentolak telah berjaya mengalihkan serpihan runtuhan sejak pagi Isnin untuk mencipta terowong baharu bagi mengeluarkan pekerja yang sebahagiannya dilaporkan telah jatuh sakit.

Namun, usaha menyelamat dikatakan bergerak perlahan selepas serpihan masih jatuh ketika kerja membersihkan terowong tersebut.

Pada masa sama, tentera udara telah menerbangkan sebuah mesin penggerudian baharu yang dilengkapi mata gerudi gergasi dengan menggunakan pesawat C-130 Herculas pada Rabu.

“Kerja menggerudi akan dimulakan tidak lama lagi,” kata ketua penyelamat, Deepak Patil pada Khamis.

Sementara itu, pasukan jurutera sedang mencuba membawa masuk sebatang besi paip sepanjang 90 sentimeter melalui serpihan yang cukup lebar untuk seorang lelaki terperangkap keluar dari situ.

Difahamkan, India mendapatkan nasihat daripada sebuah syarikat dari Thailand yang pernah menyelamatkan kanak-kanak semasa banjir dalam gua pada tahun 2018 ketika mereka berkejar masa untuk menyelamatkan 40 lelaki tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kenderaan penggerudi digunakan untuk menebuk terowong baharu menuju ke lokasi mangsa yang masih terperangkap. - AFP
Kenderaan penggerudi digunakan untuk menebuk terowong baharu menuju ke lokasi mangsa yang masih terperangkap. - AFP

Selain itu, mereka juga mendapatkan bantuan daripada pakar kejuruteraan mekanikal bawah tanah dari Institut Geoteknik Norway bagi mencari jalan mengeluarkan mangsa yang terperangkap itu.

Pasukan penyelamat juga berkomunikasi dengan lelaki yang terperangkap itu menggunakan radio.

Bantuan bekalan makanan, air, ubat-ubatan dan oksigen telah dihantar kepada mereka melalui paip yang sempit.

Setakat ini tiada butiran diberikan mengenai semua mangsa atau berapa ramai daripadanya yang telah jatuh sakit.

Terowong yang dibina sepanjang 4.5 kilometer antara bandar Silkyara dan Dandalgaon untuk menghubungkan Uttarkashi serta Yamunotri iaitu dua tempat suci agama Hindu.

Pekerja kontrak melakukan protes bagi membantah usaha menyelamat yang dikatakan bergerak perlahan - AFP
Pekerja kontrak melakukan protes bagi membantah usaha menyelamat yang dikatakan bergerak perlahan - AFP

Terowong berkenaan juga sebahagian daripada projek jalan raya Perdana Menteri India, Narendra Modi yang bertujuan menambah baik keadaan perjalanan antara beberapa tempat suci Hindu popular di negara itu dan di kawasan bersempadan dengan China.

Sebelum itu, pakar telah memberi amaran mengenai kesan yang luas di Uttarkhand, sebahagian besar negeri yang terdedah dengan tanah runtuh.

Insiden terjadi terhadap projek infrastruktur adalah perkara biasa di India.

Pada Januari tahun ini, sekurang-kurangnya 200 orang terbunuh dalam banjir kilat di Uttarakhand yang terdedah dengan tanah runtuh. - AFP