X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Kes rasuah VLN Ahmad Zahid bicara 12 Oktober ini

Ahmad Zahid
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 12 Oktober depan bagi tarikh permulaan perbicaraan kes melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan menerima suapan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), enam tahun lalu.

Hakim, Datuk Noorin Badarudin menetapkan kes itu dibicarakan bermula Oktober, November dan Disember tahun ini.

Ahmad Zahid yang diwakili peguam, Hisyam Teh Poh Tiek dan Hamidi Mohd Noh membuat pengakuan tidak bersalah hari ini apabila kesemua 40 pertuduhan itu dibacakan terhadapnya.

Presiden UMNO itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan yang dibacakan kepadanya hari ini.

Beliau didakwa dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah S$13,560,000 berhubung Sistem Visa Luar Negara antara 2014 hingga 2017.

Pada 26 Julai lalu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menerima rasuah lebih S$4,240,000 juta bagi melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Center (OSC) di negara China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, antara Mac 2017 dan Mac 2018.

Sehari kemudian, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan iaitu 26 daripadanya mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM, secara rasuah menerima suapan berjumlah S$9,320,000 daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai upah baginya, untuk mengekalkan kontrak Perjanjian Untuk Membekalkan Sistem Bersepadu Visa Luar Negara (VLN) dan melanjutkan kontrak syarikat sama sebagai Pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem VLN.

Bagi tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Ahmad Zahid didakwa sebagai penjawat awam, mendapatkan bagi dirinya, barang berharga iaitu wang tunai dalam pelbagai mata wang iaitu RM3,125,000, S$1,150,000, €15,000, AS$15,000, tanpa balasan daripada syarikat sama, yang diketahuinya mempunyai hubungan rasmi dengannya.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu antara Oktober 2014 hingga Oktober 2017 di sebuah rumah di Country Heights Kajang.

Jika sabit kesalahan bawah Akta SPRM, Ahmad Zahid boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Ahmad Zahid boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Noorin membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran untuk kesemua kes berkenaan didengar bersama.

Pendakwaan hari ini juga turut dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!