Klinik Kesihatan Manjoi akan dibina lima tingkat

Dzulkefly (dua dari kanan) melawat Klinik Kesihatan Chemor ketika mengadakan lawatan kerja ke Perak pada Selasa.
Dzulkefly (dua dari kanan) melawat Klinik Kesihatan Chemor ketika mengadakan lawatan kerja ke Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Klinik Kesihatan Manjoi yang beberapa kali tertangguh pembinaannya akan menjadi klinik kesihatan pertama milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibina paling tinggi iaitu lima tingkat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, struktur binaan bangunan yang tinggi terpaksa dibuat kerana keluasan tanah yang sedia ada amat terhad.

Menurutnya, pembinaan yang menelan belanja RM26 juta itu dijangka disiapkan pada pertengahan tahun 2025.

"Klinik kesihatan jenis dua di Manjoi ini merupakan satu projek yang sudah agak lama kerana kita telah tamatkan kontraktor pertama dan sekarang dikendalikan oleh kontraktor kedua.

"Disebabkan tempat itu agak sempit, kita akan buat klinik kesihatan paling tinggi yang pertama iaitu lima tingkat keseluruhannya.

"Sekarang ini bangunan tersebut sudah sampai ke tingkat empat dan tinggal tingkat terakhir sahaja. Klinik kesihatan ini juga berdepan dengan cabaran kerana pembinaannya mengalami kelewatan hampir 163 hari," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Chemor di sini pada Selasa.

Dzulkefly berkata, pihaknya mengharapkan tiada lagi kelewatan oleh pihak kontraktor dalam menyiapkan klinik kesihatan berkenaan kerana komitmen telah diberikan.

Menurutnya, pihak kementerian bersama agensi berkaitan akan memantau pelaksanaan klinik kesihatan berkenaan dari semasa ke semasa sehingga ia siap.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau menjelaskan negeri Perak menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM212.2 juta di dalam Belanjawan 2024 di bawah Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, kesemua peruntukan tersebut melibatkan 17 projek baharu dan 13 projek sambungan merangkumi pembangunan kemudahan dan infrastruktur kesihatan.

Dalam lawatan kerja sehari ke Perak, Dzulkefly sempat melakukan beberapa lawatan termasuk ke Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Klinik Kesihatan Manjoi dan Klinik Kesihatan Chemor.

Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Perasmian Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi HRPB yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.