Sultan titah KKM beri perhatian naik taraf Hospital Kuala Kangsar

Sultan Nazrin bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim diiringi Dzulkefly, berkenan mendengar penerangan ketika mengadakan lawatan ke ruang pameran sempena perasmian Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi HRPB Ipoh pada Selasa.
Sultan Nazrin bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim diiringi Dzulkefly, berkenan mendengar penerangan ketika mengadakan lawatan ke ruang pameran sempena perasmian Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi HRPB Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi perhatian terhadap kerja-kerja naik taraf Hospital Kuala Kangsar sepertimana diumumkan dalam Belanjawan 2023 lalu.

Perkara itu dimaklumkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semasa menghadap baginda sempena Majlis Perasmian Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Selasa.

Dzulkefly berkata, Sultan Nazrin memberi perhatian terhadap perkara itu dan mahu KKM meneliti perkembangan projek tersebut dengan kadar segera.

"Ada sedikit perbincangan dan tuanku sebutkan kepada saya sebagai menteri dan ketua setiausaha untuk kementerian perhatikan projek ini.

"Kementerian akan buat susulan mengenai perkara ini kerana projek ini atas janji yang dibuat Perdana Menteri dalam Bajet 2023 lalu," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Semasa membentangkan Belanjawan 2023 Februari tahun lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memulakan kerja awalan untuk menaik taraf sebanyak 26 hospital seluruh negara.

Dzulkefly dalam sidang akhbar pada Selasa.
Dzulkefly dalam sidang akhbar pada Selasa.

Ia termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar di Perak; Jelebu, Negeri Sembilan dan juga Hospital Pontian, Johor yang telah berusia hampir seabad.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, projek berkenaan kini dalam proses tender sebelum peringkat kerja seterusnya dimulakan.

"Saya akan pastikan perkara ini dipantau dengan lebih teliti," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.2 juta untuk perolehan 250 set katil baharu di HRPB.

Katanya, peruntukan itu diluluskan KKM mengambil kira kekurangan katil di hospital berkenaan yang tidak dapat menampung keperluan pesakit sebelum ini.

"Dengan tambahan ini dapatlah hospital ini beroperasi secara penuh atau digunakan bagi menggantikan katil-katil wad yang telah uzur," katanya.