Tiga hutan simpan Selangor 'hotspot' kebakaran gambut

Hutan simpan di Kuala Langat antara lokasi hotspot kebakaran tanah gambut berskala besar. Gambar kecil: Wan Md Razali
Hutan simpan di Kuala Langat antara lokasi hotspot kebakaran tanah gambut berskala besar. Gambar kecil: Wan Md Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga kawasan hutan simpan di Selangor dikenal pasti antara empat lokasi 'hotspot' yang berisiko berlakunya kebakaran tanah gambut berskala besar.

Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, kawasan itu melibatkan Hutan Simpan Raja Muda Musa, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dan Hutan Simpan Kuala Langat Utara selain Kampung Johan Setia di Klang.

Menurutnya, pemantauan rapi semua lokasi itu masing-masing dilaksanakan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, BBP Banting, BBP Telok Panglima Garang dan BBP Andalas.

Hutan simpan di Kuala Langat antara lokasi hotspot kebakaran tanah gambut berskala besar.
Hutan simpan di Kuala Langat antara lokasi hotspot kebakaran tanah gambut berskala besar.

"Sebanyak 17 jentera water tanker turut akan ditempatkan di BBP bersesuaian bagi persediaan awal pemadaman api hutan dan tanah gambut.

"Setakat 6 Februari ini, bomba Selangor telah menerima sebanyak 79 panggilan berkaitan kes kebakaran terbuka iaitu 37 kes kebakaran sampah, belukar atau lalang (19), hutan (13) dan kebun atau ladang (10)," katanya pada Selasa.

Beliau berkata, bagi tahun 2023, sebanyak 2,254 panggilan kes direkodkan berbanding 1,844 pada 2022 dan 3,679 (2021).

Tambahnya, semua pegawai dan anggota bomba Selangor berada dalam situasi bersiap siaga selain cuti akan turut dibeku.

Artikel Berkaitan:

"Semua peralatan operasi kebakaran hutan akan diperiksa sepenuhnya termasuk pengujian dan penyelenggaraan segera jika mengalami kerosakan selain itu rondaan secara berkala dilakukan bagi mengenalpasti kawasan yang kerap berlaku kebakaran hutan," katanya.

Januari lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih kering pada Februari ini meskipun beberapa bahagian di dalam negara akan berhadapan dengan hujan dan risiko banjir.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah dilapor berkata, ramalan itu berikutan fenomena Monsun Timur Laut yang akan berakhir pada Mac dan keadaan El Nino.