260 'hotspot' banjir dikenal pasti di Kedah

Zairil Anuar (dua dari kiri) meninjau keadaan sungai Anak Bukit, di sini pada Isnin.
Zairil Anuar (dua dari kiri) meninjau keadaan sungai Anak Bukit, di sini pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah menyenaraikan 260 'hotspot' banjir melibatkan empat daerah di negeri ini sepanjang musim monsun timur laut (MTL).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, antara daerah yang terlibat adalah Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena.

Katanya, kesemua daerah terbabit berada dalam lembangan Sungai Kedah manakala tiga daerah iaitu Kuala Muda, Baling dan Sik bagi lembangan Sungai Muda.

"Bagi keseluruhan Kedah, APM bersiap sedia melibatkan logistik bersama seramai 1,100 anggota untuk berjaga-jaga dan boleh digerakkan bila-bila masa sekiranya berlaku banjir dan bencana terutama di kawasan berisiko banjir," katanya ketika ditemui selepas meninjau Sungai Anak Bukit, di sini pada Isnin.

Menurutnya, sebanyak 38 aset darat dan 85 aset air turut siap sedia bagi bencana kali ini.

"Kita turut meletakkan anggota bagi memantau keadaan sungai di negeri ini yang mencatatkan peningkatan paras bahaya dan waspada terutama di kawasan penempatan penduduk.

“Lima sungai yang menunjukkan trend dalam keadaan bahaya adalah Sungai Anak Bukit dan Sungai Naka, paras waspada (Sungai Janing dan Sungai Pendang) serta amaran (Sungai Laka)," katanya.

Ujarnya, penduduk yang berada di sekitar sungai dinasihati sentiasa peka dan perlu berpindah segera sekiranya air naik.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengenal pasti dua kawasan berisiko kepala air iaitu di Changkat Iboi, Baling dan Titi Hayun di Yan.

"Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati ketika mengunjungi kawasan air terjun terutama yang berisiko berlaku kejadian kepala air ketika musim MTL kali ini.

"Jika berlaku deruan angin atau hujan di kawasan bukit, orang ramai dikehendaki segera naik dan jauhkan diri daripada lata atau air terjun," jelasnya.

Sementara itu, Zairil Anuar berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sik dan Pokok Sena melibatkan 118 mangsa.

"Trend air di dua daerah ini semakin meningkat, jadi kita dalam keadaan berjaga-jaga," ujarnya.