HRPB Ipoh kini antara tiga hospital terbesar negara

Sultan Nazrin menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada Selasa.
Sultan Nazrin menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh diiktiraf antara tiga hospital terbesar dalam negera selepas Hospital Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hospital yang ditubuhkan pada tahun 1891 itu kini mempunyai kapasiti 1,394 katil, 22 dewan bedah, 33 katil unit rawatan rapi dewasa, 10 katil unit rawatan jantung, 12 katil unit rawatan rapi kanak-kanak (PICU) dan 24 katil unit rawatan neonatal.

Menurutnya, penambahan kemudahan itu susulan adanya perkhidmatan Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi yang beroperasi sejak 2019.

"Sejak dinaik taraf kepada hospital negeri pada tahun 1942, hospital ini terus berkembang dengan pembangunan Kompleks Klinik Pakar pada 1992 dan pada 2005 pula, Kompleks Rawatan Harian ditubuhkan.

"Pada 2017, hospital ini dijadikan lead hospital bagi kluster Ipoh serta menjadi pusat rujukan untuk non-lead hospital iaitu Hospital Batu Gajah, Hospital Sungai Siput, Hospital Kampar dan Hospital Bahagia Ulu Kinta.

"Kini dengan adanya Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, maka Hospital Raja Permaisuri Bainun adalah antara tiga hospital terbesar di Malaysia," katanya.

Dzulkefly ketika menyampaikan sembah ucapan dalam majlis perasmikan Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Selasa.
Dzulkefly ketika menyampaikan sembah ucapan dalam majlis perasmikan Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan majlis perasmikan Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi HRPB yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Dzulkefly berkata, pembinaan kompleks di atas tapak berkeluasan 14,671 meter persegi itu menggunakan peruntukan besar dalam perbelanjaan sebuah hospital iaitu RM237 juta dibawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan secara optimum.

Katanya, Perak kini mempunyai 15 hospital dengan lima daripadanya hospital berpakar, klinik kesihatan (88), klinik pergigian (73), klinik kesihatan ibu dan anak (10), klinik desa (222) dan 18 klinik komuniti.

"Sistem kesihatan kita sangat teratur bermula daripada klinik desa yang berada jauh di kampung-kampung sehinggalah kepada klinik kesihatan, klinik komuniti dan hospital-hospital yang menyediakan perkhidmatan kepakaran.

"Kementerian terus berusaha ke arah menyediakan sistem perkhidmatan kesihatan yang lebih adil dan saksama (equitable), berkualiti tinggi, mudah dicapai dengan kos berpatutan dan mampan untuk jangka masa panjang bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat, sepertimana digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan atau Health White Paper," katanya.

Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi menawarkan perkhidmatan kesihatan daripada tiga jabatan utama iaitu Jabatan Kardiologi, Jabatan Pediatrik serta Jabatan Obstetrik dan Ginekologi yang dilengkapi dengan kemudahan 404 katil, enam dewan bedah dan 304 lot parkir kegunaan kakitangan dan orang awam.