Nasib mangsa gempa Turkiye belum terbela

Kebanyakan penduduk terjejas gempa kini tinggal di kawasan perumahan kontena.
Kebanyakan penduduk terjejas gempa kini tinggal di kawasan perumahan kontena.
A
A
A

KAHRAMANMARAS - Zahida Seker semakin hilang semangat untuk meneruskan hidupnya setelah kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam kejadian gempa bumi dahsyat di Turkiye, setahun yang lalu.

Wanita berusia 48 tahun itu kini cuba menuntut bela dan mahu mengheret pihak yang bertanggungjawab menyebabkan runtuhan struktur di kawasan berhampiran pusat gempa di bandar Kahramanmaras ke muka pengadilan.

“Saya tidak akan berdiam diri sehingga keadilan ditegakkan,” tegasnya yang kini menginap di sebuah rumah kontena kecil yang disediakan pemerintah untuk penduduk di 11 wilayah yang terjejas tragedi itu.

Laporan pihak berkuasa mendapati hampir 7,500 bangunan runtuh di Kahramanmaras setelah gempa berukuran 7.8 skala Richter menggegar bandar itu ketika kebanyakan penduduk sedang nyenyak tidur pada 6 Februari 2023.

Lokasi di Antakya setelah sisa-sisa runtuhan di pusat bandar itu dibersihkan.
Lokasi di Antakya setelah sisa-sisa runtuhan di pusat bandar itu dibersihkan.

Zahida turut mengimbau semula memori pahit apabila dia terpaksa menarik mayat dua anaknya yang tertimbus selepas enam hari kejadian gempa tersebut.

“Kebahagiaan saya dirampas begitu saja. Saya masih lagi trauma. Hanya keadilan buat mereka dapat menenangkan hati saya,” katanya sambil menangis.

Bencana itu turut mengorbankan lebih 53,500 penduduk di Turkiye dan hampir 6,000 orang di Syria.

Artikel Berkaitan:

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menuding jari menyalahkan kecuaian kontraktor bangunan kerana menggunakan konkrit yang murah dan mengabaikan standard pembinaan asas.

Susulan kemarahan orang ramai yang semakin meningkat, lebih 200 kontraktor dan pemaju telah ditahan. Malah, sebahagian daripadanya dikatakan cuba melarikan diri ke luar negara.

Ketika ini, peguam mewakili keluarga mangsa bimbang sejumlah kontraktor mungkin terlepas daripada kesalahan tersebut berikutan kebanyakan bukti 'hilang' setelah jengkaut membersihkan sisa-sisa runtuhan.

Selain itu, siasatan terhadap pegawai awam yang terlibat meluluskan permit bangunan dan pemeriksaan keselamatan hanya boleh dilancarkan dengan kebenaran Kementerian Dalam Negeri.

Cuba lepas tangan

Nebahat Pacala yang kehilangan beberapa ahli keluarganya memberitahu, dia berulang kali memberi amaran kepada kontraktor tentang pembinaan atas tanah tidak stabil selain melanggar kod keselamatan.

“Mereka tidak ikut standard hingga menjejaskan tiang sokongan,” ujar mangsa berusia 68 tahun itu sambil menambah dinding apartmen yang didiaminya mula terjejas kerana kebocoran air.

Menurutnya, kontraktor tergamak mengugut anak lelakinya apabila isu itu dibangkitkan.

Kontraktor kanan di lokasi pembinaan Ebrar, Tevfik Tepebasi pernah mencetuskan kekecohan di media tempatan selepas menyatakan dia tidak boleh didakwa melakukan jenayah.

“Saya tidak tahu apa-apa tentang pembinaan,” katanya yang seolah-olah sengaja mahu 'lepas tangan'.

Lelaki tersebut yang didakwa dalam kes lain berkaitan gempa bakal berdepan hukuman penjara 22 tahun dan enam bulan jika disabit bersalah kerana menyebabkan kematian atau kecederaan akibat kecuaian.

Gamze Bilginer Dogan, 29, yang akan mengikuti pendengaran kedua kes itu pula berharap Tepebasi menerima hukuman setimpal.

“Saya hadir ke mahkamah kerana mahu pastikan dia akan bertanggungjawab atas perbuatannya,” jelasnya yang turut kehilangan beberapa ahli keluarga dalam tragedi menyayat hati itu.

Hampir 90 peratus struktur di kawasan pusat gempa yang bersempadan Syria musnah dalam kejadian itu.
Hampir 90 peratus struktur di kawasan pusat gempa yang bersempadan Syria musnah dalam kejadian itu.

Laporan pakar berhubung salah sebuah struktur yang runtuh di kompleks itu merumuskan kejadian tersebut berlaku kerana peraturan gagal dipatuhi.

Ia turut menamakan pegawai majlis tempatan sebagai pelaku bertanggungjawab untuk pengawasan projek sebagai 'pihak cuai utama'.

“Kekurangan bukti berpotensi mengurangkan hukuman ke atas pelaku. Ketika orang ramai memfokuskan tentang ahli keluarga yang terkorban, bukti seperti sisa runtuhan juga sudah dihapuskan tanpa mereka sedar," menurut peguam, Omer Godeoglu.

Di tapak runtuhan bangunan setinggi lima tingkat, Tuba Erdemoglu, 35, menunjukkan bukti konkrit tidak digunakan sebagai tiang sokongan struktur itu.

Jelasnya, seramai 44 penduduk terbunuh termasuk tiga ahli keluarganya.

“Ia runtuh dalam sekelip mata. Saya mahu kakitangan majlis tempatan juga disenaraikan di bawah kes itu. Saya tidak akan maafkan mereka yang 'membunuh' keluarga saya,” ujarnya. - AFP