Sinar Karangkraf, Syria Care bina rumah bantu mangsa gempa bumi

Seramai 50,783 orang disahkan terkorban dalam dua gempa bumi kuat yang melanda Türkiye awal tahun ini. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Nik Justin Nik Mohd Ariffin)
Seramai 50,783 orang disahkan terkorban dalam dua gempa bumi kuat yang melanda Türkiye awal tahun ini. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Nik Justin Nik Mohd Ariffin)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sinar Karangkraf dan Syria Care bekerjasama dalam melaksanakan projek Sinar Baitul Ridha di Al-Bab, Syria untuk mewujudkan penempatan kepada keluarga yang terkesan akibat tragedi gempa bumi yang menimpa Turkiye-Syria pada Februari lalu.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, ia adalah kesinambungan daripada tabung bantuan bencana gempa bumi Turkiye-Syria yang dilancarkan sejurus bencana melanda kedua-dua negara itu.

“Untuk permulaan, kita membina 12 rumah lengkap dengan kemudahan seperti perabot, elektrik dan air termasuk sebuah surau tetapi, keutamaan diberi kepada keluarga yang masih tinggal di khemah, warga emas dan bayi.

“Daripada jumlah keseluruhan sumbangan yag hampir mencecah RM400,000 itu dibahagikan kepada dua mengikut keperluan iaitu untuk mengukuhkan semula ekonomi mangsa bencana dan kegunaan saat kecemasan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf.

Sinar Harian pada 8 Februari melaporkan, Sinar Karangkraf melancarkan tabung untuk disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye-Syria dengan sasaran pengumpulan dana sebanyak RM250,000.

Sementara itu, Nik Justin memaklumkan, kontraktor pembinaan dan semua bantuan keperluan seperti makanan, pakaian dan bahan bakar dibeli di sana kemudian terus disalurkan kepada semua keluarga yang memerlukan.

“Kawasan penempatan ini berhampiran dengan sebuah pekan, di mana semua kemudahan seperti sekolah, perubatan dan lain-lain mudah untuk diperoleh.

“Saya amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sumbangan dalam tabung tersebut, inilah hasil keprihatinan anda semua dan diharapkan projek ini menjadi satu simbol keprihatinan kita terhadap golongan yang dilanda musibah.

Artikel Berkaitan:

“Diharapkan pendekatan yang diambil oleh Sinar Karangkraf dan SyriaCare bakal menjadi contoh kepada badan sukarela lain untuk turut melakukan hal yang sama,” ujarnya.

Jelasnya, penempatan itu dijangka siap selewat-lewatnya akhir suku pertama 2024 dan fasa dua masih dalam perancangan untuk dilaksanakan membabitkan penambahan rumah dan prasarana lain seperti dewan serbaguna.