PTPTN, Yayasan LTAT beri bantuan RM150 kepada 250 pelajar

Norliza (empat dari kiri) bersama penerima sumbangan akaun Simpanan SSPN Prime di Majlis Penyampaian Sumbangan Program Kasih Prihatin Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Sembilan.
Norliza (empat dari kiri) bersama penerima sumbangan akaun Simpanan SSPN Prime di Majlis Penyampaian Sumbangan Program Kasih Prihatin Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Sembilan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan sumbangan zakat PTPTN berjumlah RM33,500 dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime dan kotak makanan berupa barangan keperluan harian kepada 250 orang pelajar.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, dengan kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT), pihaknya telah melaksanakan Program Kasih Prihatin Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Sembilan bagi membantu meringankan beban dan menggalakkan penabungan untuk tujuan pendidikan.

Menurutnya, PTPTN telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar dalam bentuk akaun Simpanan SSPN Prime.

“Pihak Yayasan LTAT juga memberikan sumbangan akaun Simpanan SSPN Prime sebanyak RM50 kepada pelajar yang sama menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima oleh setiap pelajar ialah RM150.

“Pada majlis sama, PTPTN turut memberikan sumbangan kotak makanan kepada 80 orang penerima asnaf daripada anggota ATM dan lima orang penerima asnaf daripada warga veteran ATM,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Anggota ATM terdiri daripada penerima asnaf turut menerima sumbangan berupa kotak makanan yang disampaikan Norliza (tengah).
Anggota ATM terdiri daripada penerima asnaf turut menerima sumbangan berupa kotak makanan yang disampaikan Norliza (tengah).

Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan Norliza di SK Sungala, Kem Sungala, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ujar Norliza, PTPTN akan terus komited melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) terutama dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa PTPTN telah mewujudkan instrumen simpanan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai platform terbaik untuk menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Diharapkan melalui sumbangan dan kerjasama antara PTPTN dan Yayasan LTAT yang ini dapat membantu meringankan beban hidup golongan yang memerlukan.

“Seterusnya, meningkatkan motivasi anak-anak untuk terus mencipta kejayaan dalam akademik dan sahsiah sekali gus menjadi modal insan berguna kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.