'Lihat sudut positif penganjuran majlis graduasi sekolah di hotel'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Trend majlis graduasi sekolah atau jamuan perpisahan akhir tahun murid yang diadakan di hotel mendapat pelbagai reaksi daripada beberapa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di negeri ini.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Daya 2, Johor Bahru, Noorman Kamsani berkata, tidak salah pihak sekolah menganjurkan majlis graduasi atau jamuan perpisahan akhir tahun di hotel selagi mampu dan tidak membebankan.

Menurutnya, perkara tersebut perlu dilihat secara positif dan selepas berbincang serta mendapat persetujuan ibu bapa.

"Perkara ini akan menawarkan beberapa faedah positif yang boleh memperkayakan pengalaman pelajar, guru dan kakitangan sekolah.

"Pertama sekali, pilihan lokasi di hotel menambahkan sentuhan kemewahan dan eksklusif pada acara tersebut.

Noorman Kamsani
Noorman Kamsani

"Memilih hotel sebagai tempat untuk jamuan akhir tahun atau graduasi sekolah boleh memberi peluang kepada pelajar untuk merasai suasana yang berbeza daripada sekolah harian," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, majlis di hotel juga boleh memberi pelajar pandangan yang lebih luas tentang dunia di luar sekolah, membantu mengembangkan pemahaman tentang budaya dan etiket pada acara rasmi.

"Akhir sekali, acara seperti ini adalah masa yang sesuai untuk meraikan pencapaian individu dan kumpulan.

Artikel Berkaitan:

"Pengumuman anugerah, ucapan selamat bergraduat, dan pengiktirafan sumbangan pelajar terhadap kejayaan sekolah boleh memberikan motivasi dan penghargaan yang diperlukan," katanya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah (SM) Taman Daya 1, Datuk B Balamurali bersetuju majlis graduasi atau jamuan perpisahan diadakan di hotel kerana itu merupakan pertemuan terakhir pelajar dengan guru mereka.

"Ini akan menjadi pertemuan dan majlis perpisahan yang sangat istimewa kepada kedua-dua belah pihak kerana selepas ini sukar untuk bertemu semula," ujar Balamurali yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fatimah Hashim, Taman Daya itu.

Bagaimanapun AJK PIBG, SMK Bandar Baru Uda (BBU), Awang Sabawi Awang Halil pula tidak bersetuju dengan trend terbaharu itu dan menyifatkannya menjadi beban kepada ibu bapa dalam keadaan kos sara hidup tinggi ketika ini.

Bekas Yang Dipertua PIBG SK Taman Bukit Tiram itu berkata, pihak sekolah boleh menganjurkannya dalam sekolah menggunakan dana persatuan tersebut mengikut kemampuan sekali gus semua pelajar akan dapat menyertainya.