Kayuhan basikal klasik ke lokasi menarik Rembau

Kira-kira 150 peserta dari pelbagai negeri menyertai kayuhan Basikal Klasik Rembau pada Sabtu.
Kira-kira 150 peserta dari pelbagai negeri menyertai kayuhan Basikal Klasik Rembau pada Sabtu.
A
A
A

REMBAU - Berpakaian retro era 60-an sambil mengayuh basikal klasik sejauh lapan kilometer (km) menjadi tema kepada aktiviti Kayuhan Basikal Klasik Rembau pada Sabtu.

Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lada, Chengkau itu disertai 150 peserta dari pelbagai negeri dengan peserta paling muda berusia lapan tahun.

Antara peserta yang menyertai kayuhan Basikal Klasik Rembau.
Antara peserta yang menyertai kayuhan Basikal Klasik Rembau.

Kayuhan bermula dari Masjid Jamek Tanah Datar di sini pada jam 8.30 pagi itu dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini.

Seorang peserta membawa kucingnya bernama King Oyen.
Seorang peserta membawa kucingnya bernama King Oyen.

Turut mencuri tumpuan ialah kehadiran seekor kucing yang popular menerusi media sosial dikenali sebagai 'King Oyen' yang 'sopan' duduk di dalam bakul menemani tuannya, Siti Zalifah Abdul Aziz berkayuh.

Pengerusi JPKK, Abd Latip Alias berkata, program berkenaan merupakan kali keempat dianjurkan pihaknya dan merupakan salah satu usaha memperkenalkan lokasi menarik di Rembau.

"Ini lebih kepada kayuhan santai sambil mengimbau nostalgia lama dan tema retro yang dipilih kali ini sebagai penyeri kepada program.

Artikel Berkaitan:

"Kita sebenarnya nak memperkenalkan kepada peserta yang datang dari pelbagai negeri berkenaan produk-produk menarik yang ada di daerah Rembau," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Peserta Kayuhan Basikal Klasik Rembau 'sporting' memakai pakaian mengikut tema retro.
Peserta Kayuhan Basikal Klasik Rembau 'sporting' memakai pakaian mengikut tema retro.

Menurutnya, antara lokasi yang dikunjungi ialah bangunan lama Pekan Chengkau, kolam air panas semula jadi di Chengkau, Makam Undang Rembau yang pertama dan rumah tradisional Melayu Negeri Sembilan.

Tambahnya, pihaknya berhasrat menjadikan program itu sebagai acara tahunan di kawasan Rembau yang dilihat mampu menarik kehadiran pelancong.

"Kita menerima penyertaan yang meningkat setiap tahun dan dari situ saya lihat ia mampu dijadikan ruang untuk promosi pelancongan di Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu, peserta paling tua, Bahari Anshary, 67, berkata, dia mula menyertai kumpulan basikal klasik sejak 2010 dan kini mempunyai 70 koleksi basikal lama di rumah.

Bahari
Bahari

Dia yang datang dari Ipoh, Perak berkata, sejak itu dia tidak akan melepaskan peluang menyertai aktiviti tersebut di merata negeri termasuk di Indonesia.

"Ketika muda saya aktif mengayuh basikal 'mountain bike' dan apabila dah tua ini, saya beralih pula kepada basikal klasik.

"Bagi saya adanya komuniti berbasikal sebegini dapat mengimbau nostalgia lama dan ia agak menyeronokkan kerana pada masa sama kita dapat tahu lokasi menarik yang ada di lokasi dikunjungi," katanya yang turut membawa isteri, anak serta seorang cucu perempuannya berusia lapan tahun untuk turut serta.

Peserta kaum India, G Bagavathiappan, 60, pula berkata, penyertaannya dalam aktiviti tersebut kerana minatnya terhadap basikal klasik.

Bagavathiappan
Bagavathiappan

Katanya, meskipun hanya dia seorang yang berbangsa India, namun tidak sedikit pun berasa tersisih, malah seronok kerana berpeluang mengenali kawan baharu.