Lebih 200 penduduk Gaza terbunuh dalam serangan pada Sabtu

Lebih 200 orang awam termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara, darat dan laut tentera penceroboh Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Sabtu. - Foto AFP
Lebih 200 orang awam termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara, darat dan laut tentera penceroboh Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Sabtu. - Foto AFP
A
A
A

GAZA - Lebih 200 orang awam termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara, darat dan laut tentera penceroboh Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Sabtu, menurut Agensi Berita Palestin (WAFA).

Di Khan Yunis di selatan Gaza, pesawat pejuang Israel melakukan beberapa siri pengeboman ke atas kediaman yang mengakibatkan kematian dan kecederaan berpuluh-puluh orang awam.

Tentera Israel turut memaksa penduduk di bandar Khan Yunis mengosongkan rumah mereka sekali gus meningkatkan jumlah penduduk yang hilang tempat tinggal.

Di Bandaraya Gaza, serangan tentera Israel ke atas blok kediaman penduduk mengakibatkan lebih 150 orang awam terbunuh di kawasan perumahan Shujaeya, menurut laporan tempatan dan perubatan.

Sejumlah besar mangsa yang dilaporkan terbunuh dan cedera dibawa ke Hospital Al-Ahli Baptist di Bandaraya Gaza manakala banyak lagi penduduk terperangkap di bawah runtuhan bangunan berikutan serangan udara Israel di bandar itu.

Menurut saksi sekurang-kurangnya enam orang awam dan 20 lagi cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah stesen minyak di kem pelarian Jabalia di utara Semenanjung Gaza.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 100 orang awam terbunuh dalam serangan peluru berpandu tentera Israel yang menyasarkan sebuah bangunan kediaman di kem pelarian Jabalia.

Pengeboman itu turut mengakibatkan berpuluh-puluh penduduk cedera manakala ramai dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Artikel Berkaitan:

Pesawat pejuang Israel juga menyasarkan beberapa rumah berpenghuni di bandar Beit Lahiya, menyebabkan kematian dan kecederaan berpuluh-puluh orang.

Ambulans juga menghadapi kesukaran untuk sampai ke kawasan serangan menyebabkan penduduk membawa mangsa yang cedera menggunakan kereta yang ditarik haiwan dan kenderaan persendirian ke hospital.

Israel meneruskan serangannya ke atas Semenanjung Gaza pada pukul 7 pagi Jumaat hanya beberapa minit selepas jeda kemanusiaan tujuh hari yang ditaja oleh Mesir, Qatar dan AS berakhir. - Bernama