Jual minyak wangi disyaki tiruan guna nama pusat beli-belah terkemuka

No Image Caption
A
A
A

KANGAR - Polis menahan sepasang suami isteri secara berasingan apabila dipercayai terlibat dalam kes penipuan dalam talian melalui laman Facebook, dengan cara samaran menggunakan nama sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, tangkapan itu, susulan laporan polis diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Kangar daripada seorang lelaki berumur 40-an pada 23 Januari, selepas dipercayai terpedaya dengan satu tawaran penjualan minyak wangi berjenama disyaki tiruan, yang diiklankan melalui laman Facebook itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan dalam satu operasi di sebuah premis di Sekinchan, Selangor pada 31 Januari, manakala isterinya yang merupakan warga Vietnam berumur 30-an itu ditahan di Kangar hari ini.

"Pihak polis juga telah berjaya membuat rampasan barangan pelbagai jenama (dipercayai) tiruan dalam operasi ini, antaranya minyak wangi berjenama, jam tangan berjenama, airpod pro dan beg tangan (berjenama), yang berjumlah keseluruhan dianggarkan RM214,051,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Muhammad berkata, siasatan awal yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perlis mendapati, akaun Facebook dilayari mangsa merupakan akaun palsu dan bukan akaun Facebook pihak yang sebenar, selain pihak pusat beli-belah itu juga telah mengeluarkan kenyataan menafikan menjual barangan secara dalam talian menggunakan Facebook itu.

"Pada 9 Januari 2024, mangsa telah klik satu pautan dalam laman (Facebook) tersebut yang membawa mangsa ke satu aplikasi untuk mengisi butiran nama, alamat dan nombor telefon, bagi tujuan pembelian minyak wangi dengan tawaran diskaun sebanyak 66 peratus daripada harga sebenar, mangsa kemudiannya tidak meneruskan pembelian dan terus keluar daripada aplikasi tersebut.

"(Namun) pada 17 Januari 2024, mangsa menerima panggilan telefon daripada syarikat perkhidmatan penghantar barangan, untuk penghantaran menggunakan kaedah COD (bayar waktu terima) kepada alamat mangsa. Setelah mangsa membuat bayaran (minyak wangi berharga kira-kira RM200), mangsa mendapati minyak wangi diterima disyaki tiruan,” katanya.

Muhammad berkata, kedua-dua suspek itu dipercayai aktif terlibat dalam aktiviti penipuan secara samaran, sejak hujung tahun lepas dengan bekalan produk jualan mereka disyaki diperoleh dari China.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tempoh reman terhadap suspek lelaki itu dilanjutkan sehingga 5 Februari ini, selepas tempoh reman terdahulu berakhir hari ini manakala untuk isterinya, masih dalam proses mendapatkan permohonan reman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu secara jalan samaran,” katanya. - Bernama