8 sindiket penipuan dalam talian tumpas

Allaudeen (kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket penipuan dalam talian.
Allaudeen (kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket penipuan dalam talian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menumpaskan lapan sindiket penipuan dalam talian susulan penangkapan 155 individu termasuk 43 warga asing sejak 4 September hingga 21 September lalu di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kebanyakan sindiket ini dikesan beroperasi melakukan penipuan dalam talian di 10 unit kediaman mewah sejak dua hingga tiga bulan lalu.

"Dalam serbuan pertama pada 4 September lalu, kita menahan 59 individu membabitkan 29 lelaki dan 24 wanita tempatan serta dua lelaki dan empat wanita warga asing ditahan dalam serbuan ke atas dua unit kediaman di Bandar Sri Petaling dan Jalan Kepong," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini pada Isnin.

Allaudeen berkata, kesemua yang ditahan itu didapati terbabit dalam penipuan membabitkan pelaburan forex yang mensasarkan warga tempatan dan mangsa di India.

"Dalam serbuan sama, kita turut merampas 37 unit komputer riba, 15 set komputer, 52 telefon bimbit, satu set modem dan satu set router," katanya.

Beliau berkata, sehari selepas itu, polis menahan empat lelaki termasuk dua lelaki warga asing berusia 23 hingga 36 tahun yang terlibat dalam aktiviti pinjaman wang tidak wujud menerusi dalam talian, yang mensasarkan rakyat tempatan.

"Dalam serbuan di Jalan Kepong ini, polis merampas tujuh unit telefon bimbit, 20 keping kad debit pelbagai bank, satu set komputer riba dan satu unit router.

"Seterusnya pada hari sama, polis turut menyerbu sebuah unit kediaman mewah di Jalan Dutamas dan menahan lima individu disyaki menjalankan aktiviti penipuan dalam talian membabitkan pelaburan saham yang mensasarkan warga China," katanya.

Artikel Berkaitan:

Allaudeen berkata, pada 6 September lalu, polis menyerbu premis kediaman di Taman Gembira dan menahan sembilan lelaki serta empat wanita tempatan berusia 17 hingga 26 tahun yang terbabit dalam penipuan dalam talian kes tipu tawaran kerja yang menyasarkan warga Turkiye.

"Empat lagi sindiket penipuan diserbu pada 8 September, 19 September dan 21 September lalu di premis di Bukit Bintang, Jalan P. Ramlee dan Persiaran KLCC.

"Sindiket itu menjalankan kegiatan penipuan pelaburan forex dan wang kripto tidak wujud, penipuan 'Love Scam' serta tipu tawaran kerja yang mensasarkan warga Australia dan Kanada," katanya.

Allaudeen berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket itu menjadikan residensi mewah sekitar ibu negara sebagai pusat operasi penipuan dalam talian mereka bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

"Orang awam boleh memaklumkan berkaitan sebarang aktiviti penipuan dalam talian dengan menghubungi Bilik Gerakan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau tampil ke balai polis berdekatan," katanya.