Imigresen asingkan tahanan Rohingya, elak insiden larikan diri

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Ruslin Jusoh bercakap kepada pemberita mengenai situasi terkini tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Bidor pada sidang media di Ibu Pejabat JIM pada Jumaat. Foto Bernama
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Ruslin Jusoh bercakap kepada pemberita mengenai situasi terkini tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Bidor pada sidang media di Ibu Pejabat JIM pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia kini melakukan pengasingan semula ke atas 2,675 tahanan etnik Rohingya di 12 depot seluruh negara bagi mengelak insiden melarikan diri berulang.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, melalui pendekatan itu, bilangan etnik Rohingya dalam satu-satu blok akan dikurangkan dan dipindah ke blok lain serta dicampur dengan tahanan warga lain seperti Indonesia dan Bangladesh.

Beliau berkata, itu antara langkah kawalan dan prosedur operasi standard segera yang dilaksana oleh jabatan berkenaan susulan insiden tahanan lari dari depot imigresen di Bidor, Perak.

"Ini untuk kita kurangkan mereka daripada bertindak agresif. Kalau berkumpul ramai-ramai, mereka ada kecenderungan untuk bertindak agresif,” katanya dalam sidang media khas di sini pada Jumaat.

Malam tadi, sejumlah 131 pendatang tanpa izin telah melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan itu dan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia apabila terlibat dalam nahas jalan raya.

Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 ialah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh. - Bernama

Artikel Berkaitan: