Hina Zakir Naik: K Senthivelu akan dipanggil polis

Dr Zakir Naik. - Foto Rosli Talib Gambar kecil: Mohd Said
Dr Zakir Naik. - Foto Rosli Talib Gambar kecil: Mohd Said
A
A
A

SEREMBAN - Polis akan memanggil Ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS), K Senthivelu bagi membantu siasatan susulan lima laporan yang diterima berkaitan dakwaan penghinaan pendakwah Dr Zakir Naik di Facebooknya pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, beliau memuat naik status bergambar yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

"Siasatan lanjut tetap akan dilakukan walaupun beliau sudah memadamkan hantaran yang dimuat naik sebelum ini kerana itu adalah prosedur biasa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Bersih ke Sekolah yang turut dihadiri Pengarah Kolej Vokasional Ampangan, Sarimen Sapiei di Kolej Vokasional Ampangan di sini hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Kelmarin, Pemuda UMNO Seremban mendesak K Senthivelu meletakkan jawatan berikutan dakwaan Ahli Majlis itu membuat naik status dengan gambar Dr Zakir yang mencetuskan ketegangan kaum di negeri ini.

Mohd Said bersama pelajar Kolej Vokasional Ampangan Seremban hari ini.
Mohd Said bersama pelajar Kolej Vokasional Ampangan Seremban hari ini.