Pelaksanaan AIDAP dijangka tingkat 50 peratus kapasiti empangan

Kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah 34.6 peratus yang merupakan kapasiti yang penting untuk operasi bekalan air.
Kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah 34.6 peratus yang merupakan kapasiti yang penting untuk operasi bekalan air.
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang memuktamadkan cadangan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) yang berpotensi meningkatkan kapasiti efektif empangan daripada 34.6 peratus kepada 50 peratus menjelang akhir April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang nanti.

"PBAPP akan menyemak dan mengesahkan semua fakta dan angka serta mengesahkan semula daya maju kejuruteraan cadangan AIDAP 2024 sebelum membentangkannya kepada kerajaan Pulau Pinang untuk kelulusan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Pathmanathan, pelan tindakan itu berkonsep untuk mengurangkan pelepasan air dari empangan daripada purata aliran masuk air mentah ke dalam empangan setiap hari.

Pathmanathan
Pathmanathan

"Empangan Air Itam menerima kira-kira 15 juta liter air sehari (JLH) daripada tiga muka sauk iaitu muka sauk Balik Pulau, muka sauk Sungai Tepi dan muka sauk Sungai Pinang Barat.

"PBAPP juga merancang untuk mengurangkan pelepasan harian dari Empangan Air Itam ke Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam sebanyak 75 peratus iaitu daripada 44 kepada 11 JLH.

"Oleh itu, purata lebihan harian sebanyak 4JLH yang akan disimpan di Empangan Air Itam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pathmanathan berkata, selepas tiga bulan pelan tindakan itu dilaksanakan, dijangka simpanan terkumpul di empangan itu berjumlah 360 juta liter.

"Jumlah itu berpotensi untuk meningkatkan kapasiti efektif empangan sebanyak 15 peratus," katanya.

Sementara itu katanya, kejayaan AIDAP 2024 bergantung kepada tiga faktor utama antaranya kemampanan 6 JLH pengambilan air mentah daripada muka sauk Utama dan muka sauk Tat.

"Selain itu, ia juga bergantung kepada 33 JLH sokongan air terawat daripada LRA Sungai Dua di Seberang Perai yang akan dipam semula di Rumah Pam Padang Brown ke kawasan perkhidmatan LRA Air Itam.

"Ini akan menampung kekurangan 33 JLH dalam pengeluaran dari Empangan Air Itam.

"Faktor ketiga ialah operasi pembenihan awan untuk mendorong taburan hujan yang mencukupi di kawasan tadahan air bagi lima muka sauk yang terlibat iaitu Balik Pulau, Sungai Tepi, Sungai Pinang Barat, Utama dan Tat," katanya.

Pada Khamis, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan Kerajaan Pulau Pinang akan mengambil beberapa langkah untuk mengawal paras air Empangan Air Itam yang semakin berkurangan.

Kon Yeow berkata, satu perbincangan akan dibuat bersama Pathmanathan untuk latihan pembenihan awan yang akan dijalankan di kawasan empangan berkenaan.