Pelan Pengurusan Krisis Sungai Muda dibentang dalam masa terdekat

Pathmanathan
Pathmanathan
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan membentangkan Pelan Pengurusan Krisis Sungai Muda (SM-CMP) kepada kerajaan Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd, K Pathmanathan berkata, pelan itu menyenaraikan penyelesaian kejuruteraan bekalan air yang paling berdaya maju.

Selain itu katanya, ia juga mengandungi kos efektif yang akan lebih melindungi pengguna air Pulau Pinang daripada kesan insiden Sungai Muda di Kedah pada masa hadapan.

"Penyelesaian itu melibatkan projek kejuruteraan cegahan iaitu saluran paip pelepasan kecemasan 400 juta liter/hari (JLH), kerja-kerja pra rawatan air mentah, kemudahan takungan air mentah pinggiran sungai (TAPS) (Empangan Mini Pinggir Sungai), Kolam Pengimbang 2 Sungai Dua dan naik taraf kerja-kerja rawatan Sungai Dua.

"Rasional utama pelaksanaan SM-CMP adalah maklum balas, aduan dan ketidakpuasan hati orang ramai. PBAPP memberi perkhidmatan kepada pangkalan pelanggan seramai 676,857 pengguna air di Pulau Pinang.

"Kira-kira 465,004 (68.7 peratus) daripada mereka bergantung kepada air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang merawat air mentah yang diabstrak dari Sungai Muda. Tanpa SM-CMP, bekalan air mereka di Pulau Pinang berkemungkinan terjejas setiap kali kejadian Sungai Muda berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, sejak Julai 2022, terdapat tiga krisis air di seluruh Pulau Pinang iaitu banjir di Baling yang pertama iaitu Julai 2022, penurunan mendadak paras sungai (Mei 2023) dan banjir kedua di Baling (September 2023).

"Kesemua tiga kejadian itu berpunca daripada insiden melibatkan Sungai Muda yang berasal dari Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Kemungkinan besar ada lebih banyak kejadian pada masa depan di Kedah yang akan mengancam perkhidmatan bekalan air di seluruh Pulau Pinang," katanya.

Pathmanathan berkata, penyelesaian SM-CMP boleh dilaksanakan secara berasingan, progresif atau serentak untuk meminimumkan kesan negatif insiden Sungai Muda pada masa hadapan terhadap perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang.

"Ada empat perkara yang perlu diambil kira iaitu setiap penyelesaian berkemungkinan menelan belanja ratusan juta ringgit dalam pelaburan yang akan ditambah semula secara progresif melalui tarif air masa depan di Pulau Pinang.

"Oleh itu, PBAPP sedang memuktamadkan anggaran kos projek tertentu sebelum membentangkan rancangan keseluruhan untuk kelulusan. Selain itu, sesetengah penyelesaian mungkin tidak kos efektif atau penyelesaian kejuruteraan berharga," tambah beliau lagi.

Menurutnya, setiap penyelesaian tertakluk kepada kelulusan kerajaan Pulau Pinang dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Kerajaan Persekutuan).

"Setiap penyelesaian mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan dan beroperasi.

"Semua kerja kejuruteraan bekalan air utama yang dijalankan oleh PBAPP di Pulau Pinang perlu mematuhi peraturan kerajaan dan prosedur operasi standard," katanya.