Kelantan perlu tangguh kenaikan tarif air - Ahmad Jazlan

Ahmad Jazlan ketika sidang akhbar selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di sini pada Jumaat.
Ahmad Jazlan ketika sidang akhbar selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di sini pada Jumaat.
A
A
A

MACHANG - Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Madani Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menggesa kerajaan negeri menangguhkan dahulu kenaikan tarif air sebanyak 23 sen yang berkuat kuasa pada Khamis.

Beliau berkata, ini kerana bekalan yang diberikan kepada rakyat terlalu tidak sempurna sehingga mengundang pelbagai rungutan.

"Rakyat yang berada di luar (anak perantau) tak apa mereka mendapat kemudahan baik (di luar Kelantan), balik setahun sekali.

"Jadi tidak adil untuk rakyat yang bermastautin di sini membayar bil pada tarif baharu sedangkan Kerajaan Kelantan gagal menyediakan kemudahan terbaik," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di sini pada Jumaat.

Ahmad Jazlan merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di Machang.
Ahmad Jazlan merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di Machang.

Menurut beliau, kerajaan negeri wajar memberikan tumpuan kepada usaha membaiki saliran-saliran dan menyediakan kemudahan terbaik untuk rakyat.

Ujarnya, kenaikan itu boleh dilakukan sekiranya perkhidmatan yang diberikan berada pada tahap terbaik sekali gus memberikan kepuasan kepada rakyat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pengguna domestik di Kelantan dijangka menerima tarif baharu air dengan kenaikan 23 sen bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkata, bagi bacaan meter individu sebelum 0 hingga 20 meter padu sebanyak 45 sen naik kepada 68 sen.

Tambah beliau, bagi penggunaan melebihi 20 hingga 35 meter padu ialah 97 sen dan selepas 1 Februari pula RM1.26.

Bagi pengguna bukan domestik, tarif dikenakan bagi 0 hingga 35 meter padu ialah RM1.95 dan naik kepada RM2.03.

"Penggunaan melebihi 35 meter padu dinaikkan menjadi RM2.28 daripada RM2.20 sebelum ini," katanya.