Padah biar pagar terbuka, akauntan disamun depan rumah

Tangkap layar menerusi rakaman CCTV memaparkan pergelutan antara mangsa dan suspek di hadapan rumah dalam kejadian samun di Taman Bukit Bendera dekat Mentakab pada Rabu.
Tangkap layar menerusi rakaman CCTV memaparkan pergelutan antara mangsa dan suspek di hadapan rumah dalam kejadian samun di Taman Bukit Bendera dekat Mentakab pada Rabu.
A
A
A

TEMERLOH - Tindakan seorang akauntan membiarkan pagar automatik terbuka mengundang padah apabila dia disamun di hadapan rumahnya di Taman Bukit Bendera dekat Mentakab di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 1.19 tengah hari itu, mangsa berusia 38 tahun pulang ke rumah selepas mengambil dua anak perempuannya di sekolah.

Menurutnya, semasa sampai di rumah teres dua tingkat itu, mangsa telah membuka pagar automatik dan membiarkan ia terbuka.

"Mangsa telah keluar dari kereta dan menjemur pakaian di pekarangan rumah manakala dua anaknya berada di dalam kereta tersebut.

"Tiba-tiba sebuah kereta jenis Myvi berwarna putih berhenti di hadapan rumah dan suspek telah keluar dari arah pemandu.

"Sambil berjalan, suspek telah menyapa 'aunty' lalu menuju ke pintu kereta mangsa dan mengambil beg sandang miliknya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, kehadiran lelaki itu menyebabkan anak-anak mangsa menjerit dan mangsa dengan pantas meluru ke arah keretanya.

"Telah berlaku pergelutan antara mereka kerana mangsa bertindak menarik beg sandangnya sehingga dompet yang berada di dalam beg terjatuh.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa bertindak mengejar suspek dan cuba menarik semula beg sandang namun tidak berjaya," tambahnya.

Sebelum itu, sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit dua saat tular di media sosial yang memaparkan kejadian tersebut.

Jelas Mazlan, semakan CCTV di tempat kejadian mengesahkan kejadian berlaku, namun nombor pendaftaran kenderaan suspek tidak jelas.

Ujarnya lagi, tiada kecederaan dialami mangsa dan kerugian dianggarkan kira-kira RM1,000 membabitkan beg sandang jenama MCM.

Katanya, kes diklasifikasi bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK).