Kutip derma tanpa permit: JAINJ tingkat penguatkuasaan

Mohd Fared ( tiga dari kanan) melawat Sekolah Agama Dato Onn Jaafar Larkin pada Khamis.
Mohd Fared ( tiga dari kanan) melawat Sekolah Agama Dato Onn Jaafar Larkin pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memandang serius isu kutipan derma tanpa permit atau kebenaran oleh mana-mana individu mahupun organisasi yang menggunakan nama tahfiz atau institusi agama.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, penguatkuasaan lebih kerap akan dilakukan bagi memastikan nama tahfiz dan institusi agama di Johor tidak disalahgunakan.

"Mana-mana masjid, surau atau pusat tahfiz yang ingin menjalankan kutipan khairat atau derma, boleh buat permohonan bagi mendapatkan permit sebelum aktiviti itu dijalankan.

"Permohonan bagi masjid atau surau boleh dilakukan melalui Pejabat Kadi Daerah manakala sekolah dan pusat tahfiz, menerusi Pejabat Pendidikan Islam Daerah," katanya ketika ditemui selepas melalukan lawatan di Sekolah Agama Dato Onn Jaafar, Larkin di sini pada Khamis.

MOHD FARED
MOHD FARED

Beliau sebelum itu mengulas mengenai pengemis asing yang menggunakan alasan membiayai tahfiz dan institusi agama ditahan menerusi Op Bersama di Iskandar Puteri pada Selasa.

Op Bersama JAINJ, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu berjaya membongkarkan pengemis asing yang ditahan itu mampu meraih pendapatan sehingga RM300 sehari atau RM10,000 sebulan.

Menurut Fared, orang ramai khususnya masyarakat Islam boleh menyalurkan aduan terus kepada Pejabat Kadi daerah masing-masing sekiranya berlaku kecuriagaan terhadap sebarang aktiviti meminta derma.

Artikel Berkaitan:

"Guna saluran yang betul disebabkan itu JAINJ selalu beri perhatian dan akan ambil tindakan terhadap mereka yang salah menggunakan peluang mengutip derma.

"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,095 unit tabung dirampas manakala hampir RM41,000 disita, selepas didapati menyalahi Seksyen 106, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fared memberitahu Sekolah Agama Dato Onn Jaafar, Larkin yang mempunyai lebih 800 murid menerima peruntukan baik pulih sebanyak RM123,000.daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Sekolah Agama Dato Onn Jaafar merupakan antara 50 buah sekolah agama terpilih di negeri yang menerima bantuan daripada JAKIM dengan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM10 juta.

"Setiap peruntukan disalurkan terus kepada akaun sekolah untuk diuruskan, dengan pemantauan Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Agama Islam negeri Johor," katanya.