Jerebu: JAS diarah tingkat penguatkuasaan

Nik Nazmi Nik Ahmad - Foto Bernama
Nik Nazmi Nik Ahmad - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah diarahkan untuk meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian di kawasan berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Semua pemilik tanah juga disarankan supaya memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kenyataan itu susulan kes kebakaran melibatkan belukar tanah gambut berkeluasan 32 hektar di Kota Tinggi, Johor yang mula dikesan sejak 15 Oktober lepas, iaitu setakat ini, 70 peratus berjaya dipadamkan.

Beliau berkata, masih terdapat asap pada permukaan tanah di kawasan kejadian dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pemilik tanah.

Nik Nazmi berkata, isu jerebu dalam negara turut diutarakan pada mesyuarat Kabinet semalam dan beliau telah berkomunikasi dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan bagi mengambil tindakan menghentikan aktiviti luar buat sementara waktu ekoran kemerosotan kualiti udara dalam negara.

Ia selari dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) iaitu kualiti udara sentiasa dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan agensi terlibat dengan pengurusan bencana jerebu dapat bertindak dengan lebih cepat dan responsif.

Antara tindakan di bawah PTJK ialah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana yang akan digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam, menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100, penutupan sekolah, tadika dan taska serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200.

"Ini selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) daripada KKM yang terpakai kepada semua dan mesti dipatuhi bagi mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini. Selain itu, pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) juga akan dibuat jika perlu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Setakat jam 1 tengah hari, Klang di Selangor mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan 153.

Nik Nazmi berkata, biarpun hanya Klang yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, trend kualiti udara sepanjang minggu menunjukkan beberapa kawasan sering mencatatkan bacaan tidak sihat, terutama di Semenanjung Malaysia disebabkan oleh pergerakan asap.

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) semalam mendapati pergerakan angin pada masa kini di Asia Tenggara selatan adalah dari arah timur ke tenggara dan dalam beberapa hari akan datang, bahagian selatan Asia Tenggara akan menerima taburan hujan yang lebih tinggi yang membawa kepada pengurangan titik panas dan asap jerebu.

Dalam menangani krisis jerebu, Nik Nazmi berkata, Malaysia telah mengadakan kerjasama dua hala dengan kerajaan Indonesia bagi usaha pencegahan jerebu secara ‘Government to Government’ di bawah kerangka Perjanjian Asean Mengenai Jerebu Merentas Sempadan.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) juga akan terus meneliti kewajaran penggubalan Rang Undang-Undang Jerebu Merentas Sempadan bagi menangani krisis jerebu di negara ini.

Ia merangkumi kebolehlaksanaan undang-undang yang akan digubal, hubungan diplomatik dengan negara jiran serta pelaksanaan akta seumpamanya oleh negara lain bagi memastikan tiada pembaziran sumber dalam menggubal akta tersebut dan Nik Nazmi berkata NRECC tidak menolak untuk meneliti mekanisme instrumen atau perundangan lain yang bersesuaian bagi menangani perkara tersebut.

Orang awam turut diseru agar sentiasa berhati-hati dan peka dengan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing dan mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu, termasuk mengelak daripada melakukan aktiviti fizikal di luar bangunan.

Mereka yang terlibat dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, seperti yang termaktub dalam Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, selain boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,000 atas setiap kesalahan. - Bernama