55 ahli sindiket tipu kutipan derma dalam talian diberkas

Allaudeen (dua dari kiri) menunjukkan barang yang dirampas daripada sindiket penipuan kutipan derma dalam talian.
Allaudeen (dua dari kiri) menunjukkan barang yang dirampas daripada sindiket penipuan kutipan derma dalam talian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membongkar kegiatan sindiket penipuan kutipan derma dalam talian yang dipercayai beroperasi sejak lima tahun lalu, selepas memberkas 55 individu di sebuah premis di Kepong, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menahan 34 lelaki dan 21 wanita berusia 18 hingga 42 tahun dalam serbuan pada jam 3 petang.

"Pemeriksaan lanjut mendapati sindiket itu juga menggunakan media sosial untuk mengiklankan derma bagi meraih simpati daripada orang ramai," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pada Khamis.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu menyasarkan syarikat dan individu untuk merayu sumbangan derma menggunakan nama tiga persatuan.

"Kutipan derma ini akan dimasukkan ke dalam tujuh akaun syarikat, di mana ahli sindiket berkenaan akan menerima 10 hingga 20 peratus komisen daripada kutipan derma jika mencapai sasaran ditetapkan," katanya.

Menurutnya, polis merampas 108 buku resit, router (dua), telefon bimbit (126), dan komputer riba (54).

"Kita turut merampas skrip dan rakaman perbualan antara ahli sindiket dan mangsa yang disimpan di dalam komputer riba yang dirampas," ujar beliau.

Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jumlah keseluruhan kerugian dan pihak-pihak yang bersekongkol dengan kegiatan sindiket terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Persatuan yang digunakan sindiket adalah asli dan kami sedang menyiasat penglibatan persatuan terbabit sama ada bersubahat atau tidak.

"Saya dah tegaskan kita akan membuat pembanterasan 100 peratus atas kegiatan 'calling centre' termasuk aktiviti seperti ini termasuk judi dalam talian," katanya.

Kesemua suspek direman empat hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan.