Aktiviti seludup diesel tumpas, rampasan hampir RM1 juta

Dua tangki jenis IBC antara yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi berjumlah 81,400 liter di Kawasan Perindustrian Plentong, Masai, Johor Bahru pada Isnin
Dua tangki jenis IBC antara yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi berjumlah 81,400 liter di Kawasan Perindustrian Plentong, Masai, Johor Bahru pada Isnin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis mematahkan cubaan penyeludupan diesel bersubsidi dengan nilai keseluruhan rampasan hampir RM1 juta selepas melakukan serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Plentong, Masai di sini pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, serbuan pada jam 9.30 malam itu dilakukan semasa empat lelaki sedang melakukan kegiatan pemindahan diesel dari tangki masuk ke dalam lori dan dari lori masuk ke dalam tangki jenis IBC di premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga jenis tangki dan tiga jenis tangki IBC yang dipercayai mengandungi diesel bersubsidi berjumlah 81,400 liter.

"Selain itu terdapat lima buah pam berserta meter, tiga pam tidak bermeter dan hos yang disambungkan dengan beberapa buah lori," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu, jumlah rampasan diesel berkenaan sahaja bernilai RM175,010 manakala nilai keseluruhan rampasan adalah RM920,022.

Kumar berkata, pihak polis menahan empat lelaki tempatan tersebut yang berusia 32 sehingga 43 tahun untuk membantu siasatan.

Jelasnya, hasil semakan lampau mendapati dua daripada suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

"Polis Johor akan terus membanteras kegiatan penyeludupan diesel dan menasihatkan mereka yang masih terlibat agar menghentikan aktiviti ini kerana pihak polis tidak akan berkompromi serta akan terus menjejaki mereka," ujar beliau.