Bekas guru taska kekal pengakuan tidak bersalah abai budak autisme

Tertuduh mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan meninggalkan kanak-kanak autisme di bawah jagaannya tanpa pengawasan hingga mengakibatkan mangsa mati lemas, tahun lalu.
Tertuduh mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan meninggalkan kanak-kanak autisme di bawah jagaannya tanpa pengawasan hingga mengakibatkan mangsa mati lemas, tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang bekas guru taska mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan meninggalkan kanak-kanak autisme di bawah jagaannya tanpa pengawasan hingga mengakibatkan mangsa mati lemas, tahun lalu.

Esther Christina Samuel Ponniah, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan semula di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Pada 12 Julai tahun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama di Mahkamah Majistret Ipoh.

Dalam prosiding hari ini, Majistret Siti Nora Sharif memerintahkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) sebelum kes berkenaan dituduh di mahkamah sesyen.

Mengikut pertuduhan, ibu tunggal itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas V Thanes Nair, 4, telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang tidak berpatutan.

Kesalahan itu dilakukan di kolam renang di The Centro Club, Jalan Sri Klebang 2, Bandar Baru Sri Klebang di dalam daerah Ipoh jam 10.20 pagi pada 17 April 2023.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021 yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj memohon mahkamah mengenakan wang jaminan RM15,000 selain syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati keluarga dan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri ke balai polis sekali sebulan.

Artikel Berkaitan:

Peguam Gary Xavier yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan RM2,500 di mahkamah majistret dikekalkan mengambil kira keadaan tertuduh yang sudah tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menjaga ibu berusia 80 tahun yang uzur.

Katanya, anak guamnya itu juga perlu menjalani rawatan susulan kerana telah menjalani pembedahan barah otak dan perlu mengambil ubat anti sawan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM5,000 dan 21 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia setelah enam hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Kejadian itu berlaku pada hari pertama ibu mangsa menghantar anaknya ke taska berkenaan.

Media melaporkan, bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu mendapati punca kematian akibat mati otak disebabkan lemas dan kegagalan fungsi organ.

Ahli keluarga kanak-kanak terbabit sebelum ini bertindak berjalan kaki kira-kira 14 kilometer dari Bandar Sri Klebang hingga ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bagi menuntut keadilan atas kematian mendiang.

Video mengenai tindakan ahli keluarga kanak-kanak terbabit turut tular di media sosial.