Wanita cari ibu kandung kanak-kanak autisme

Rhida Fhadilla meminta orang ramai membantu mengesan ibu kandung Adam Afiq.
Rhida Fhadilla meminta orang ramai membantu mengesan ibu kandung Adam Afiq.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang wanita mencari ibu kandung kepada kanak-kanak autisme yang dijaganya sejak tujuh tahun lalu.

Rhida Fhadilla Kamal Aripin, 35, berkata, kanak-kanak berkenaan, Adam Afiq Abdul Halim, 7, berada dalam jagaannya setelah diserahkan ibu kandungnya pada 2016.

Menurutnya, ibu kandung, Norsaharah Zainal Abidin yang berusia 27 tahun ketika itu, menyerahkan Adam Afiq yang lahir pada 23 Julai 2016 di Hospital Kuala Lumpur kepadanya kerana tidak mampu membesarkan kanak-kanak tersebut.

"Masa itu Adam diserahkan kepada saya di rumah sewa Norsaharah dekat Pangsapuri Angsana, Bandar Mahkota Cheras, Selangor sekitar tahun 2016. Ketika itu dia masih dalam tempoh berpantang," katanya.

Rhida Fhadilla berkata, penyerahan turut disertakan dengan sijil kelahiran serta buku rekod pemeriksaan kehamilan.

Bagaimanapun katanya, dalam tempoh beberapa bulan selepas menyerahkan anaknya, Norsaharah tidak lagi menyewa di rumah berkenaan dan nombor telefon juga tidak dapat dihubungi.

"Apa yang saya ingat Norsaharah berkulit sawa matang, hidung mancung, berambut panjang, mempunyai ketinggian kira-kira 158 sentimeter serta berketrampilan menarik," katanya.

Rhida Fhadilla berkata, wanita itu diperlukan bagi membantu melengkapkan dokumen pengambilan anak angkat sepertimana diminta agensi berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Jika mana-mana individu mengenali Norsaharah diminta tampil menghubungi saya segera.

"Saya sangat sayangkan Adam dan ingin memperolehi penjagaan yang sah selain memastikan keperluan asas termasuk pendidikan kepadanya diberikan hak sewajarnya," katanya.

Jelasnya, proses berkenaan juga bagi membolehkan Adam Afiq didaftarkan ke mana-mana institusi pendidikan selain merancang masa depan anak istimewa berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Rhida Fhadilla di talian 019-6922913.