X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga Uptown Danau Kota buat laporan polis

Mohd Ridzuan (empat dari kanan) bersama kumpulan peniaga Uptown Danau Kota yang membuat laporan di Balai Polis Setapak hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 100 peniaga Uptown Danau Kota membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini hari ini bagi menuntut ganti rugi selepas hilang mata pencarian apabila tapak niaga tersebut diarah tutup.

Wakil peniaga, Ahmad Daharul Fitri Mohamad, 47, berkata, dia antara peniaga asal yang tidak ditawarkan lesen berniaga di lokasi baharu, Bazaria Wangsa Maju yang mula beroperasi awal tahun ini.

"Mewakili peniaga, saya harap tapak asal kami dikekalkan memandangkan tapak baharu sudah penuh, tak boleh muatkan baki 200 peniaga yang tidak mendapat tempat.

"Sebagai jawatankuasa bertindak yang dilantik untuk membela peniaga, saya akan cuba mempertahankan semua peniaga yang tidak dapat berniaga, harap kawan-kawan bersabar, kita akan berniaga di tapak asal," katanya.

Seorang peniaga, Helmi Jaafar, 47, berkata, dia akui tertekan dengan penutupan Uptown Danau Kota selepas hilang mata pencarian sejak seminggu lalu.

Helmi
Helmi

"Kami orang berniaga bukan makan gaji, duit berniaga itulah yang digunakan sara keluarga. Kami dihalang berniaga mencari rezeki halal, di mana keadilannya?

"Dah seminggu tak berniaga sampaikan semalam ke pajak gadai kerana terdesak perlukan duit bayar yuran sekolah anak," katanya.

Katanya, dia telah membuat rayuan selepas namanya tercicir semasa bancian namun sehingga kini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur belum memberi jawapan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Iklas), Mohd Ridzuan Abdullah menafikan peserta yang membuat bantahan berhubung pemindahan peniaga Khamis lalu didalangi oleh pihak luar mahupun samseng.

"YB (Yang Berhormat) beritahu yang buat protes 2 Januari lalu orang luar, jadi ini (laporan polis) adalah bukti mereka adalah peniaga Uptown Danau Kota. Setakat ini sebanyak 128 laporan polis telah dibuat dan akan disusuli beberapa peniaga yang akan membuat perkara sama.

"Ikhlas mendesak peniaga ini dibenarkan meniaga di tapak lama kerana di tapak baru dah penuh macam tapak warga asing," katanya.

Katanya, isu tersebut akan dibawa ke pihak Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

"Kita tidak mahu peniaga dihalang membuka perniagaan dengan menggunakan kekerasan termasuk penguatkuasaan untuk menakutkan peniaga.

"Dalam isu ini, Iklas akan pastikan peniaga dapat berniaga, itu perjuangan kita, bukan untuk bermain politik. Sebagai badan bukan kerajaan kita akan bantu peniaga tidak kira semasa zaman Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew mendakwa pihak yang mengadakan bantahan berhubung isu Uptown Danau Kota di Bazaria Wangsa Maju, Khamis lalu ialah sindiket dan kroni yang hilang pendapatan daripada kutipan penjaja.

Yee Kew menegaskan pemindahan peniaga di tapak baharu dipilih secara telus melalui tiga kali bancian dalam tempoh empat bulan dibuat oleh badan bebas dilantik.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Uptown: Yee Kew dakwa pihak bantah hanya sindiket, kroni


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus