X

Kindly register in order to view this article
!

Isu Uptown: Yee Kew dakwa pihak bantah hanya sindiket, kroni

A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew mendakwa pihak yang mengadakan bantahan berhubung isu Uptown Danau Kota di Bazaria Wangsa Maju, semalam ialah sindiket dan kroni yang hilang pendapatan daripada kutipan penjaja.

Yee Kew berkata, sekiranya pihak terbabit yang berhimpun itu benar-benar membantu dan mempertahankan hak-hak penjaja, mereka sepatutnya menyokong beliau membebaskan penjaja daripada penindasan sindiket.

Menurutnya, melalui bancian sebanyak tiga kali dijalankan pihaknya dalam tempoh empat bulan melibatkan 500 peniaga Uptown Danau Kota, hampir 60 peratus peniaga tidak memiliki lesen tetapi menyewa daripada pemilik lesen lain.

Ahli jawatankuasa Pertubuhan Peniaga-Peniaga Bazaria Wangsa Maju membuat laporan polis semalam untuk tujuan keselamatan. Foto: FB Dr Tan Yee Kew.
Ahli jawatankuasa Pertubuhan Peniaga-Peniaga Bazaria Wangsa Maju membuat laporan polis semalam untuk tujuan keselamatan. Foto: FB Dr Tan Yee Kew.

"Ada di antara mereka yang turut menyewa tapak daripada sindiket. Mereka yang betul-betul berniaga terpaksa membayar kadar sewa yang tinggi iaitu antara RM800 hingga RM1,500 sebulan," katanya dalam kenyataan yang dikongsi di Facebooknya.

Menurutnya, 'penindasan' terhadap peniaga terbabit oleh sindiket serta kroni sudah berlaku sejak 12 tahun lalu, namun tiada pihak tampil mempertahankan perusahaan kecil orang Melayu.

"Apabila kita tukar kerajaan, DBKL telah menyediakan satu tapak yang baharu untuk mereka berniaga. Tapak baharu itu dinamakan Bazaria Wangsa Maju yang mempunyai kemudahan lebih lengkap dan lebih baik.

"Semua penjaja yang dibanci itu diberikan lesen untuk berniaga di tapak baharu. Mereka tidak perlu lagi membayar sewa yang tinggi kepada sindiket dan kroni. Mereka semua gembira dan sudah hampir sebulan berpindah ke tapak baharu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Wangsa Maju jelir lidah pada peniaga

Terdahulu, Yee Kew menarik perhatian umum hari ini berikutan gambarnya yang didakwa mengejek sekumpulan peniaga diketuai Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah yang berhimpun di Bazaria Wangsa Maju bagi menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap tapak baharu disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.

Dalam pertemuan tersebut, peniaga turut mendakwa Yee Kew bersikap rasis dengan memasukkan 'kroni' terdiri daripada peniaga Cina di tapak baharu selain terdapat nama peniaga lama tercicir untuk berniaga di lokasi tersebut.

Antara peserta bantahan berhubung isu pemindahan peniaga Uptown Danau Kota semalam.
Antara peserta bantahan berhubung isu pemindahan peniaga Uptown Danau Kota semalam.

Yee Kew ketika cuba memberi penjelasan berhubung perkara tersebut di lokasi turut menerima makian daripada beberapa peniaga selepas mendakwa kebanyakan yang hadir pada bantahan itu merupakan orang luar sebelum beliau diiring meninggalkan lokasi dan meminta rakan media ke pejabatnya untuk sidang media.

Isyarat 'mengejek' itu dikatakan dilihat ketika Yee Kew berada di dalam kereta untuk meninggalkan lokasi bazaria.

Yee Kew mendakwa, Ikhlas sepatutnya benar-benar membantu mempertahankan hak-hak penjaja.

"Tetapi nampaknya Ikhlas lebih cenderung menyebelahi sindiket dan kroni-kroni yang sewakan tapak mereka dan bukan penjaja yang betul-betul berniaga," katanya.

Katanya, satu persatuan terdiri penjaja Bazaria Wangsa Maju telah ditubuhkan untuk menjaga kepentingan penjaja dan status tersebut telah disahkan DBKL, sekali gus tidak memerlukan orang luar untuk mewakili mereka.

Sementara itu, Yee Kew tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohd Ridzuan berikutan beliau didakwa rasis oleh presiden badan bukan kerajaan (NGO) itu.

"Saya menerima beberapa rakaman video yang Mohd Ridzuan telah membuat tuduhan palsu dan rasis terhadap saya serta berunsur hasutan. Saya akan berbincang dengan peguam saya dan mungkin akan mengambil tindakan mahkamah terhadapnya," katanya.

Pengerusi Pertubuhan Peniaga-Peniaga Bazaria Wangsa Maju, Md Ibrahim Md Daud yang mewakili peniaga di tapak baharu pula bertindak membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan itu jam 10.58 malam semalam.

Laporan tersebut bertujuan menjaga keselamatan susulan terdapat sekumpulan pihak tidak berpuas hati dengan keputusan mereka yang akur dengan arahan DBKL untuk berpindah ke lokasi baharu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus