Pencen: Tiga sektor dijangka terjejas

Laporan muka depan Sinar Harian mengenai penjawat awam tetap baharu tiada pencen.
Laporan muka depan Sinar Harian mengenai penjawat awam tetap baharu tiada pencen.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk menghapuskan skim pencen penjawat awam berstatus tetap dijangka menjejaskan tiga sektor iaitu pendidikan, keselamatan dan kesihatan.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, ia akan mengakibatkan orang muda hilang minat bagi mengisi perjawatan dalam tiga sektor penting berkenaan kerana tiadanya pencen yang memberi jaminan selepas persaraan mereka.

Dr Hussain Yusri Zawawi
Dr Hussain Yusri Zawawi

“Graduan mungkin tidak lagi berebut untuk isi kekosongan jawatan guru atau pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Kalau ramai tidak berminat jadi pendidik, bagaimana dengan nasib anak bangsa kita?

“Pada masa sama, keputusan ini akan turut mematahkan motivasi penuntut universiti untuk bersaing merebut kecemerlangan dalam pelajaran dengan impian untuk diserap ke sektor kerajaan.

“Lazimnya pelajar cemerlang akan cepat diserap masuk sebagai penjawat awam. Sektor awam ini memang jadi rebutan penuntut IPT kerana adanya kemudahan pencen,” katanya ketika mengadakan kunjungan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.

Kabinet pada Rabu dilaporkan bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baharu kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status pencen mereka tidak terjejas sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Artikel Berkaitan:

Hussain Yusri berkata, ketiadaan pencen itu juga seolah-olah akan memberi gambaran kerajaan tidak menghargai peranan pasukan keselamatan.

“Tanggungjawab seorang pegawai dan anggota keselamatan ini berat. Mereka mempertaruhkan nyawa ketika bertugas. Mereka wira untuk melindungi keselamatan negara.

“Bayangkan seorang pegawai dan anggota polis perlu jalani latihan yang lama sebelum mulakan tugas tapi katakan kalau baru masuk kerja mereka meninggal dunia, anak isteri mereka tidak dapat nikmati pencen dan hanya dapat KWSP yang tidak banyak sebab masih baru bekerja,” tambah beliau.

Menurutnya, dari segi kesihatan pula, graduan perubatan akan cenderung memilih untuk bekerja di hospital swasta yang menawarkan gaji tinggi.

Hussain Yusri menegaskan, keputusan menghapuskan skim pencen dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah perbelanjaan negara yang besar kerana kerajaan tetap perlu membayar gaji besar kepada penjawat awam disebabkan persaingan yang akan wujud dengan sektor swasta.

Kata beliau, sepatutnya sebelum membuat keputusan berkenaan kerajaan perlu menangani masalah ketirisan dialami negara kerana ia menjadi punca utama negara berdepan masalah kewangan dan bukannya menarik skim pencen yang selama ini dinikmati rakyat.

Sehubungan itu, Hussain Yusri menggesa kerajaan meneliti semula keputusan mahu menghapuskan pencen kerana ia turut menimbulkan keresahan dan kemarahan rakyat.

“Bagi saya, ini satu pendekatan yang salah. Kerajaan patutnya bahaskan perkara ini di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dahulu serta panggil tenaga pakar untuk bincang sebelum muktamadkan keputusan ini.

“Jangan hanya bincang di Kabinet. Di Kabinet, yang terlibat hanya orang politik sedangkan perbincangan kena menyeluruh selain perlu dibuat analisis mendalam untuk lihat impak sesuatu perkara sebelum apa-apa ketetapan dibuat,” ujarnya.