Tak perlu lagi tumpang kawan ke masjid

Ibrahim mencuba motosikal elektrik yamg disumbangkan oleh Yayasan Raja Shamri.
Ibrahim mencuba motosikal elektrik yamg disumbangkan oleh Yayasan Raja Shamri.
A
A
A

PASIR MAS - Tiada yang lebih menggembirakan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU), Ibrahim Deris, 42, dari Kampung Banggol Stol di sini, apabila menerima motosikal elektrik sekali gus dapat membantu pergerakannya.

Paling utama motosikal elektrik berharga RM2,500 sumbangan Yayasan Raja Shamri (YSR) itu akan dimanfaatkan untuk berulang-alik ke masjid.

Ibrahim yang kudung kedua belah kaki sejak lahir berkata, sumbangan itu memberi semangat untuk dia beribadah dan tidak putus asa meneruskan kehidupan.

Ibrahim (tengah) menerima lawatan daripada Yayasan Raja Shamri dan Politeknik Jeli.
Ibrahim (tengah) menerima lawatan daripada Yayasan Raja Shamri dan Politeknik Jeli.

"Kenderaan ini memudahkan saya bergerak membeli barangan keperluan harian selain solat berjemaah lima waktu di masjid yang jaraknya dua kilometer dari rumah," katanya.

Menurut Ibrahim, sebelum ini setiap hari dia membonceng motosikal rakannya, Mahadi Ismail, 45, untuk berjemaah di masjid berkenaan.

Katanya lagi, ramai rakan-rakannya yang prihatin dan selalu membantunya terutama untuk membeli stok barangan jualan yang dilakukan secara kecil-kecilan di rumah.

"Alhamdulillah, masalah kenderaan saya selesai dan Insya-ALLAH saya akan menjaganya dengan baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ibrahim kini tinggal bersama bapanya, Deris Yaakob, 86, selepas ibunya meninggal dunia akibat sakit tua tiga tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Raja Shamri (YRS), Raja Shamri Raja Hussin berkata, Ibrahim merupakan individu yang boleh memberi inspirasi kepada OKU yang lain kerana semangatnya.

"Ibrahim seorang yang kuat semangat dan tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan wang Jabatan Kebajikan Masyarakat malah berusaha sendiri untuk melakukan kegiatan harian," katanya.

Raja Shamri memberitahu, motosikal yang disumbangkan akan diubahsuai mengikut kesesuaian pergerakan Ibrahim oleh tenaga pengajar Politeknik Jeli.

Pada masa sama, yayasan itu turut menghulurkan sumbangan wang dan bakul makanan.