'Penumpang kapal sedang karam bimbangkan kapal lain' - Pas

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pas menempelak tindakan pihak luar yang cuba mencampuri urusan kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) khususnya melibatkan parti itu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan seorang veteren UMNO mencadangkan Pas memimpin PN bagi menggantikan Bersatu bukan sahaja dianggap 'ganjil' malah menyifatkannya sebagai 'penumpang kapal yang sedang karam' bimbang dengan kedudukan parti lain yang masih mempunyai sokongan utuh.

"Mengulas kenyataan ini, saya ingin katakan terima kasih atas cadangan, namun agak ganjil apabila penumpang sebuah kapal yang sedang karam asyik bimbang kepada kapal lain yang terus gagah belayar," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sebelum ini, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dalam perkongsian di Facebooknya melontarkan cadangan tersebut dengan memetik perkembangan politik yang menyaksikan sejumlah ahli Parlimen Bersatu menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, sepatutnya Pas yang perlu mengambil alih kepimpinan PN selain turut cadangkan Bersatu memecat ahli Parlimen mereka yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Mengulas perkara itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas tidak melihat tindakan sekumpulan ahli Parlimen PN dari Bersatu beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan menggugat kedudukan gabungan tersebut.

Sebaliknya, beliau memberitahu apa yang penting adalah kedudukan sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Perkara yang paling penting ialah sokongan rakyat ketika mengundi pada pilihan raya nanti.

Artikel Berkaitan:

"Jika berpuluh-puluh lagi ahli Parlimen menukar sokongan sekalipun, tapi ukuran sokongan rakyat terus menaik, tiada masalah," katanya.

Pada 24 Januari lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi ahli Parlimen keenam daripada blok pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Sebelum ini, lima ahli Parlimen daripada PN telah menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) serta Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasa (Bukit Gantang).