PN Selangor desak Zulkafperi letak jawatan

Zulkafperi didakwa telah mengkhianati jentera parti dan pengundi selepas menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri. Gambar kecil: Mohd Hasnizan, Nurul Syazwani
Zulkafperi didakwa telah mengkhianati jentera parti dan pengundi selepas menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri. Gambar kecil: Mohd Hasnizan, Nurul Syazwani
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi yang menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak meletakkan jawatan kerana didakwa telah mengkhianati jentera parti dan pengundi.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, Perikatan Nasional (PN) rela pilihan raya kecil (PRK) diadakan semula untuk mengembalikan semula mandat rakyat di Parlimen berkenaan.

"Saya nasihatkan beliau (Zulkafperi) jangan jadi penakut, sila letak jawatan sebagai ahli Parlimen dan serah kerusi tersebut kepada PN," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Hasnizan memberitahu, tindakan Zulkafperi itu dianggap sebagai 'api dalam sekam' apabila menyatakan sokongan kepada Anwar tetapi masih berada dalam PN.

"Buat apa kamu menyokong orang lain, kecualilah jika kerajaan itu terbaik, sebaliknya kerajaan ini tak adil lebih-lebih lagi rakyat dalam keadaan susah.

"Kami sebagai ahli Parlimen pembangkang tidak mendapat satu sen pun peruntukan, tetapi kami terus bekerja untuk rakyat," jelas beliau.

Beliau yang juga Bendahari PN Selangor berkata, tindakan itu juga dianggap amat mengecewakan walaupun sebelum ini sering dilihat lantang memperjuangkan PN menerusi aplikasi TikTok.

Jelas beliau, kepimpinan PN di negeri pastinya tidak selesa dengan tindakan Zulkafperi membelakangkan PN.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak pasti apa yang berlaku kerana beliau sendiri tidak berhujah (menyatakan punca sebenar tindakan tersebut) dalam WhatsApp PN Selangor, akhirnya tiba-tiba keluar daripada grup," jelas beliau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, keputusan diambil Zulkafperi itu mengundang kekecewaan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjong Karang.

"Tindakan ini dibuat tanpa mesyuarat atau perbincangan bersama saya mahu pun parti," tambahnya.

Nurul Syazwani yang juga Ketua Srikandi Muda Bersatu Bahagian Tanjong Karang memberitahu, hubungan ADUN dan Ahli Parlimen Tanjong Karang sebelum ini tiada sebarang masalah.

"Bagi saya semua masalah ada penyelesaian, walaupun kami ADUN pembangkang, namun siang malam turun padang dan bekerja untuk rakyat di DUN (Dewan Undangan Negeri) Permatang dan Sungai Burong.

"Ini sebenarnya menyuntik semangat saya untuk memastikan Bersatu akan terus kukuh di Tanjong Karang dan menjadi kubu kuat PN.

"Kami keluarga Tanjong Karang akan berdiri kukuh bersama PN dan akan pastikan Parlimen dan DUN ini akan bertambah kuat dengan kepimpinan anak jati tempatan di sini," jelasnya.

Sebelum ini, seramai lima wakil rakyat daripada Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang).