Terima kurniaan berharga, petugas Istana Negara kenang jasa Permaisuri

Raja Permaisuri Agong akan berangkat pulang ke Pahang mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari ini.Gambar fail Bernama
Raja Permaisuri Agong akan berangkat pulang ke Pahang mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari ini.Gambar fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang jua.

Peribahasa lama ini disifatkan amat tepat bagi menggambarkan rasa hati Muhammad Wafi Zabidi ketika diminta berkongsi kenangan sepanjang berkhidmat di bawah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Berkongsi kenangan bersama baginda, Muhammad Wafi, 34, yang merupakan tukang masak di Istana Negara berkata, beliau tidak akan melupakan jasa Seri Paduka yang membuka laluan kepada beliau dan pasangannya untuk menimang cahaya mata selepas lima tahun menanti.

Tukang masak Istana Negara, Muhammad Wafi Zabidi. Foto Bernama
Tukang masak Istana Negara, Muhammad Wafi Zabidi. Foto Bernama

Aurora Sofea Humaira yang kini sudah menjengah usia tiga tahun ialah anugerah paling berharga buat beliau dan isteri, Nurul Ain Md Yusof, 34, selepas Tunku Azizah berkenan mengurniakan rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) kepada beliau dan isteri.

"Selepas Tunku Azizah mula bersemayam di Istana Negara pada 2019, tuanku sering bertanyakan kepada bentara siapa pekerja di sini yang dah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai anak lagi dan bentara sebut nama saya.

"Kemudian, tuanku terus bertemu saya di dapur Istana Negara dan bertanyakan kisah saya, kemudian meminta saya jalani rawatan IVF.

Saya sangat terkejut, kerana ia melibatkan kos yang tinggi dianggarkan RM30,000 dan ramai yang teringin melakukan rawatan ini, jadi saya sangat menjunjung kasih dengan kurniaan paling berharga daripada tuanku ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tunku Azizah yang merupakan Pengasas Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) berkenan memilihnya untuk melakukan rawatan di yayasan berkenaan yang menjadi impian setiap pejuang TTC (wanita yang cuba mengandung).

Muhammad Wafi dan isteri adalah antara 20 pasangan yang berkhidmat di Istana Negara dikurniakan rawatan IVF.

Berkongsi pengalaman, Muhammad Wafi yang berkhidmat di Istana Negara selama 11 tahun berkata, beliau dan isteri menjalani rawatan itu ketika negara dilanda pandemik Covid-19 iaitu pada 2019 dan prosedur berkenaan mengambil masa hingga empat bulan.

Ibarat bertemu bukit di tepi telaga, dengan hanya sekali rawatan Muhammad Wafi dan pasangan berjaya dikurniakan cahaya mata perempuan yang sempurna dan sihat pada tanggal 2 Ogos 2020.

"Kurniaan ini merupakan kenangan yang saya akan ingat seumur hidup kerana rawatan IVF sangat mencabar terutama bagi wanita, isteri saya sampai dimasukkan ke hospital beberapa hari kerana kesukaran bernafas akibat ovari mengembang dan mengandungi air yang banyak serta dikhuatiri ada risiko komplikasi.

"Bagaimanapun selepas itu, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan apabila dikhabarkan IVF berjaya, Tuanku menitahkan saya untuk menjaga isteri betul-betul dalam fasa kehamilan dan tidak membenarkan saya kerja di luar sedangkan waktu itu saya sepatutnya ditugaskan ke Kuantan, Pahang, jadi selepas dititahkan begitu saya banyak bertugas di Istana Negara sahaja,” katanya.

Bagi bentara Istana Negara, Mohd Hasry Abd Rahim, 34, pula insiden rumahnya di Bemban, Melaka ditenggelami banjir sehingga paras bumbung pada November 2021 ialah sesuatu yang sukar dilupakan, apatah lagi ketika itu beliau sedang bertugas di luar negara mengikuti Tunku Azizah ke London, United Kingdom.

Bentara Istana Negara, Mohd Hasry Abd Rahim. Foto Bernama
Bentara Istana Negara, Mohd Hasry Abd Rahim. Foto Bernama

Situasi yang dialami keluarganya itu membuatkan Mohd Hasry tidak dapat memberi tumpuan kepada tugasnya pada waktu itu, sehingga ditegur oleh Tunku Azizah yang seakan-akan mengetahui sesuatu tidak kena padanya.

"Sudah 13 tahun saya menetap di rumah itu tidak pernah sekali pun dilanda banjir, kemudian ketika bertugas di London pula tiba-tiba dapat perkhabaran daripada isteri rumah kami tenggelam sehingga bumbung dan habis segala peralatan rumah rosak dan boleh dikatakan tinggal sehelai sepinggang.

"Selepas dapat berita itu saya tak tentu arah, tak mampu fokus kerja, tuanku perasan dan bertanyakan kenapa dan saya beritahu keadaan keluarga di Melaka sambil tunjukkan gambar serta video dan tuanku terkejut tetapi tuanku jugalah yang menenangkan saya dan bertitah untuk membantu kami sekeluarga,” katanya.

Selepas pulang ke tanah air, Tunku Azizah kemudian berkenan mengurniakan bantuan dari pelbagai segi bagi memulihkan kembali kediaman yang dilanda banjir itu termasuk kelengkapan rumah seperti perabot dan keperluan asas.

Mohd Hasry yang telah berkhidmat 11 tahun di Istana Negara menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Tunku Azizah kerana sejak dimasyhurkan sebagai Raja Permaisuri Agong lima tahun lepas, baginda banyak mengurniakan bantuan kepadanya dan petugas Istana Negara yang lain.

Raja Permaisuri Agong akan berangkat pulang ke Pahang mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari ini.

Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019. - Bernama