Berhimpun di Istana Negara, polis rekod keterangan Che'gu Bard

Allaudeen (Laporan Sinar Harian)
Allaudeen (Laporan Sinar Harian)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah merekod keterangan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard bersama 14 individu lain bagi siasatan mengenai 'Himpunan Selamatkan Rakyat' di Istana Negara baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya sudah rakam keterangan daripada tujuh saksi awam dan lapan saksi polis.

Menurutnya, polis juga akan meneruskan proses merakam keterangan daripada enam lagi saksi pada Isnin (hari ini) dan Selasa.

"Sejurus selesai, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara selewat-lewatnya Rabu ini," katanya pada Isnin.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Himpunan yang berlangsung pada 23 Januari itu dianjurkan oleh sekretariat Pembela Tanah Air (PETA).

Turut hadir ke perhimpunan berkenaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Syed Hassan Syed Ali.

Syed Hassan dan Setiausaha Agung PETA, Mohd Aswanizam Alias kemudian menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang diterima oleh wakil Istana Negara antaranya mengandungi keluh kesah rakyat berhubung ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penganjur Himpunan Selamatkan Rakyat tidak perlu memainkan naratif seolah-olah menjadi mangsa apabila dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis susulan perhimpunan itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.