Jualan Gudang Karangkraf 2024 platform pupuk budaya membaca

Staf Jualan Gudang Karangkraf 2024 (tengah) menerangkan harga al-Quran kepada pengunjung. Gambar kecil: Abdul Rahim, Nur Liyana, Hanidah
Staf Jualan Gudang Karangkraf 2024 (tengah) menerangkan harga al-Quran kepada pengunjung. Gambar kecil: Abdul Rahim, Nur Liyana, Hanidah
A
A
A

SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf 2024 menjadi platform permulaan untuk ibu bapa memupuk rasa cinta dan sayang anak-anak terhadap buku serta budaya membaca.

Guru, Nur Liyana Samsudin, 35, berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak supaya mereka minat untuk menjadikan membaca sebagai hobi.

“Apabila mereka (anak-anak) suka dengan buku, jadi ia membantu untuk kurangkan perhatian kepada gajet kerana mereka yang seronok dengan buku akan lebih fokus dalam kelas.

“Kadang-kadang bila ada pelajar yang tidak suka membaca, mereka beri alasan tidak minat kerana susah dan lebih suka bermain telefon. Jadi, ibu bapa perlu pupuk rasa suka anak-anak kepada buku bagi meningkatkan kecemerlangan mereka di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Pengunjung memilih buku yang sesuai dengan minat masing-masing.
Pengunjung memilih buku yang sesuai dengan minat masing-masing.

Jualan Gudang Karangkraf 2024 kembali menemui pengunjung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini selama 10 hari bermula 25 Januari hingga 4 Februari depan dengan pelbagai tawaran aktiviti menarik.

Pengunjung juga berpeluang menerima potongan diskaun bagi tajuk buku terpilih dan cabutan bertuah yang bernilai sehingga RM1,500.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, eksekutif tadbir, Noor Hanidah Abd Rahman, 43, berkata, minat anak-anak yang suka membaca telah menarik perhatian mereka sekeluarga untuk hadir ke sini.

“Saya dari Johor dan bercuti di Shah Alam tetapi hari ini tidak tahu nak ke mana kemudian kami bercadang untuk datang ke jualan gudang kebetulan anak-anak pun memang suka membaca.

Azian (kanan) bersama isterinya menunjukkan buku yang menarik minat mereka.
Azian (kanan) bersama isterinya menunjukkan buku yang menarik minat mereka.

“Harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan, saya membeli buku aktiviti untuk anak-anak supaya waktu cuti sekolah nanti masa lapang mereka terisi dengan perkara bermanfaat dan tidak terbuang begitu sahaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengedar buku, Azian Abd Aziz, 53, mengakui harga yang ditawarkan sangat berpatutan dan dia membelanjakan hampir RM1,000 untuk membeli buku berkaitan motivasi dan keagamaan.

Katanya, selain untuk bacaan sendiri, dia juga berhajat untuk memberikan buku yang dibeli itu kepada mereka yang memerlukan dan pihak sekolah.

Seorang pegawai insurans, Abdul Rahim Sahin, 57, berkata, jualan gudang ini merupakan peluang kepada pengunjung memborong buku pada harga murah untuk disedekahkan kepada orang lain.

“Harga amat berbaloi, jadi boleh beli banyak. Ada pelbagai jenis genre yang boleh dipilih mengikut kesesuaian bagi semua peringkat umur,” ujarnya.