Tebing Barat turut jadi medan sasaran pembunuhan beramai-ramai Israel

Kanak-kanak yang cedera dipindahkan ke hospital di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. Foto Xinhua
Kanak-kanak yang cedera dipindahkan ke hospital di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. Foto Xinhua
A
A
A

NABLUS - Pencerobohan, kemusnahan harta benda, penculikan serta penangkapan rakyat Palestin oleh tentera rejim Israel merupakan situasi ‘biasa’ yang dihadapi rakyat Palestin.

Namun jenayah kejam Israel melibatkan pembunuhan berama-ramai kini menjadi-jadi setiap hari di bandar-bandar Palestin sejak 7 Oktober lalu.

Pengarah Yayasan Al-Haq Palestin, Shawan Rateb Abdallah Jabarin berkata, bahawa pembunuhan yang dilakukan tentera zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat telah meningkat secara mendadak.

"Pembunuhan demi pembunuhan dilakukan tentera zionis. Mereka sesuka hati menarik picu senjata dan membunuh warga Palestin yang mereka temui”, katanya seperti dilaporkan oleh Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Orang ramai meninggalkan rumah mereka selepas pengeboman Israel di bandar Khan Younis, selatan Genting Gaza. Foto Bernama
Orang ramai meninggalkan rumah mereka selepas pengeboman Israel di bandar Khan Younis, selatan Genting Gaza. Foto Bernama

Memetik statistik yang dikeluarkan Biro Perangkaan Pusat Palestin (PCBS), ia melaporkan tindakan pencerobohan, penganiayaan, penyeksaan, pemusnahan infrastruktur dan rumah kediaman selain serbuan oleh tentera Israel hampir setiap hari telah memaksa beribu-ribu warga Palestin di kem pelarian Jenin, Tebing Barat berhijrah keluar.

Kini hanya tinggal kira-kira tiga ribu sahaja daripada 11,674 rakyat Palestin yang tinggal di kem-kem tersebut, lapor PCBS.

WAFA turut melaporkan jenayah kebencian dan kekejaman tentera zionis tidak terhenti setakat pembunuhan. Mereka turut bertindak menyeksa mayat warga Palestin yang dibunuh selain menghalang akses ambulans ke lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Perkara ini berlaku kepada seorang pemuda Palestin, Abdul Rahman Uthman yang dibunuh tentera Israel semasa serbuan ke atas sebuah kem pelarian Palestin di Tulkarm, Tebing Barat, seperti yang disaksikan Ummu Jamal Abu Heish.

"Tentera Israel kemudian mengikat kaki dan tangan Uthman yang sudah tidak bernyawa lalu menggantungnya di sebatang tiang sebelum mula mencaci, menendang selain bertindak kencing ke atas mayat berkenaan.

"Kemudian mereka merakan gambar sambil memijak mayatnya dan bergelak ketawa,” kata Ummu Jamal.

Sekurang-kurangnya 25,900 rakyat Palestin terbunuh manakala 64,110 lagi cedera sejak 7 Oktober tahun lalu.

Serangan rejim Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal di tengah-tengah krisis kekurangan makanan, bekalan air bersih dan ubat-ubatan manakala 60 peratus infrastruktur di wilayah itu rosak atau musnah, menurut PBB. - Bernama