X

Kindly register in order to view this article
!

Golongan OKU digalak mohon skim bantuan perniagaan

Sivanesan
A
A

IPOH - Orang ramai khususnya golongan OKU perlu diberikan pendedahan berhubung Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kelainan Upaya (SBGP-OKU) yang telah diperkenalkan lebih 10 tahun lalu.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Negeri Perak, A Sivanesan berkata, skim yang diperkenalkan sekitar 2007, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu secara keseluruhannya bertujuan untuk membantu perniagaan yang diusahakan oleh golongan OKU.

Bagaimanapun menurutnya, kerana kekurangan promosi telah menyebabkan kurangnya permohonan daripada golongan OKU terhadap skim berkenaan.

"Sejak SBGP-OKU diperkenalkan pada 2007, hanya 513 golongan OKU sahaja yang menerima bantuan tersebut di seluruh negara.

"Ini mungkin disebabkan kurangnya pendedahan dan promosi terhadap inisiatif berkenaan yang difahamkan memperuntukkan sejumlah RM16 juta.

"Justeru, kerajaan perlu memperluaskan lagi promosi skim berkenaan agar skim berkenaan dapat dinikmati oleh golongan OKU di negara ini," katanya.

Sivanesan berkata demikian pada sidang media, sempena program Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU),

hari ini.

Sivanesan berkata, terdapat beberapa syarat harus dipatuhi sebelum sebarang permohonan SBGP-OKU dibuat.

Katanya, selain memiliki perniagaan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan, golongan OKU itu juga perlu memiliki perancangan masa depan seperti mengembangkan lagi perniagaan mereka dan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada golongan OKU yang lain.

“Menerusi skim ini, kita bukan memberi bantuan dalam bentuk tunai sebaliknya ia berbentuk geran bagi membantu menaik taraf peralatan, ubah suai premis, promosi dan sebagainya.

"Apa pun, kita berharap agar segala urusan OKU yang mahu mendapatkan bantuan menerusi skim ini dipermudahkan oleh pihak yang bertanggungjawab," katanya.