Dua warga asing jual berlian palsu diberkas

Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Wan Azlan
Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Wan Azlan
A
A
A

SUBANG JAYA - Seramai dua lelaki warga asing ditahan kerana disyaki terlibat kes penipuan jual barang kemas berlian palsu di sini pada 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ketika kejadian, seorang eksekutif cawangan sebuah syarikat pajak gadai di USJ 1 di sini mendakwa telah didatangi oleh salah seorang suspek untuk menjual satu loket dan dua subang berlian.

"Setelah membuat penelitian ketulenan barang kemas dan tidak mengesyaki apa-apa yang mencurigakan, pekerja kepada wanita itu telah menyerahkan wang tunai RM117,285.95 kepada lelaki tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Wan Azlan berkata, ketiga-tiga barang kemas tersebut didapati palsu setelah ujian penilaian dilakukan oleh ibu pejabat syarikat berkenaan pada 15 Januari lalu.

"Bertindak atas maklumat, kita telah menahan dua suspek berusia 36 dan 37 tahun di Shah Alam pada jam 2 petang, Isnin," katanya.

Beliau berkata, polis merampas sekeping sijil 'diamond grading report', seutas gelang putih, satu kanta, tiga buah telefon bimbit, dua keping pasport dan wang tunai berjumlah RM3,929.

"Siasatan awal mendapati suspek menjalankan kegiatan penipuan di sekitar Subang Jaya dan Ampang Jaya," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek telah direman empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita menasihatkan pemilik syarikat pajak gadai supaya sentiasa berhati-hati dalam menjalankan urusniaga gadaian, dan menyemak dengan teliti barang kemas serta dokumen-dokumen yang dikemukakan.

"Sebarang maklumat berkaitan jenayah komersial boleh disalurkan dengan menghubungi talian 03-78627100 (pusat kawalan daerah Subang Jaya) atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.