Tiga negeri atasi median upah bulanan nasional - DOSM

Tiga negeri merekodkan median upah bulanan mengatasi kadar nasional iaitu RM2,600 pada suku tahun ketiga 2023. Gambar hiasan
Tiga negeri merekodkan median upah bulanan mengatasi kadar nasional iaitu RM2,600 pada suku tahun ketiga 2023. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga negeri merekodkan median upah bulanan mengatasi kadar nasional iaitu RM2,600 pada suku tahun ketiga 2023, menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi iaitu RM3,800 diikuti Selangor sebanyak RM2,900 dan Pulau Pinang sebanyak RM2,645.

"Bagi Kelantan, Perlis dan Sabah menunjukkan median upah bulanan terendah dalam tempoh masa sama, masing-masing mencatatkan RM1,600, RM1,627 dan RM1,800,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) bagi Suku Tahun Ketiga 2023, dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Rabu.

Beliau berkata, secara keseluruhan bilangan pekerja tempatan di sektor formal meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 6.68 juta pada September 2023 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Menurut Mohd Uzir, daripada jumlah itu, sebanyak 55.4 peratus atau 3.7 juta adalah lelaki, manakala 44.6 peratus atau 2.98 juta adalah wanita.

Dari segi median upah bulanan, beliau berkata, pekerja formal lelaki menunjukkan peningkatan sebanyak 5.8 peratus kepada RM2,645, dan pekerja formal perempuan menerima sebanyak RM2,518 dengan pertumbuhan positif merentasi semua sektor pada suku tahun ketiga 2023.

"Secara khusus, sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan median upah bulanan tertinggi iaitu RM5,200 pada September 2023. Sektor ini turut merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi pada September 2023 dengan 16.5 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Sektor pertanian yang meliputi 1.9 peratus daripada keseluruhan pekerja formal, mencatatkan median upah bulanan terendah iaitu RM1,982, meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun pada September 2023.” katanya.

Mohd Uzir berkata, dari segi taburan upah, sebanyak 34.6 peratus pekerja formal di Malaysia memperoleh upah bawah RM2,000.

"Peratusan ini menandakan penurunan daripada 38.1 peratus dicatatkan pada tahun sebelumnya. Pada masa sama, hampir 7.5 peratus pekerja formal memperoleh upah bulanan RM10,000 dan ke atas pada September 2023,” katanya.

Berdasarkan kumpulan umur pula, Mohd Uzir berkata, pekerja formal berusia 25 hingga 29 tahun merangkumi satu per lima daripada keseluruhan pekerja formal pada September 2023 iaitu 19.9 peratus atau 1.33 juta orang.

"Bagi kumpulan umur 65 tahun dan ke atas pula mencatatkan bilangan pekerja formal terendah dengan 0.1 juta orang atau 1.5 peratus. Kumpulan umur 45 hingga 49 tahun menerima median upah bulanan tertinggi pada September 2023 iaitu RM3,500. Kumpulan umur ini mengekalkan median upah bulanan tertinggi pada Julai 2023 (RM3,482) dan Ogos 2023 (RM3,500).

"Bagaimanapun, kumpulan umur di bawah 20 tahun menerima median upah bulanan terendah sebanyak RM1,500 pada September 2023, kekal tidak berubah bagi tiga bulan berturut-turut sepanjang suku tahun ketiga 2023,” katanya.

Data siri masa dan maklumat lanjut berkaitan pasaran buruh boleh diperoleh menerusi portal Malaysia Labour Market Interactive Data (MyLMID). Untuk maklumat lanjut, sila layari https://mbls.dosm.gov.my/mylmid/. - Bernama