‘Kerajaan Madani tidak kompromi soal kedaulatan negara’ - Azalina

Azalina (tujuh dari kiri) bersama barisan Kor Diplomatik Eropah.
Azalina (tujuh dari kiri) bersama barisan Kor Diplomatik Eropah.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berkompromi mengenai isu kedaulatan negara dan akan terus mempertahankan Malaysia daripada pelbagai ancaman.

Ia susulan tindakan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa yang menghina mahkamah dan amalan profesion tanpa kelayakan terhadap tuntutan Sabah oleh lapan individu yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semua negara perlu bekerjasama melihat kelemahan undang-undang dan penyalahgunaan proses timbang tara.

“Jangan sesekali cabar kedaulatan Malaysia.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi mengelakkan isu seperti ini berulang di mana-mana negara,” katanya dalam hantaran di X pada Rabu.

Pada 8 Januari lalu, Stampa telah didapati bersalah menghina mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sepanyol.

Sebelum ini, lapan warga Filipina telah memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion-bilion dolar daripada Malaysia berhubung isu Sabah dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara dalam kes itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Azalina, banyak negara mengikut rapat kes tuntutan pewaris Sulu dan kaedah Malaysia mengendalikan kes itu.

Katanya, perbincangan antara Malaysia dan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) menjadi permulaan untuk melihat isu timbang tara antarabangsa dengan lebih luas.

"Saya berharap perbincangan hari ini akan menjadi pemula kepada kerjasama dan terbentuknya Kumpulan Kerja antara negara-negara anggota Kesatuan Eropah dan Malaysia bagi melihat kepada isu-isu timbang tara antarabangsa, termasuklah pembiayaan daripada pihak ketiga, selain amalan terbaik dan kod etika penimbang tara," katanya.