Devaki tokoh inspirasi kepada wanita India di Malaysia

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mendiang Tan Sri Devaki Krishnan dilihat sebagai tokoh yang memberi inspirasi dan menjadi simbol kepada peranan penting dimainkan wanita India dalam masyarakat Malaysia, menurut Persatuan Warisan Malaysia-India.

Presiden yang juga pengasas persatuan itu, Prabhakaran Nair ketika menyampaikan ucapan takziah bagi pihak persatuan, menekankan perjalanan luar biasa mendiang Devaki yang menentang arus dan meninggalkan jejak berkekalan dalam politik Malaysia.

Devaki wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia meninggal dunia Sabtu lepas pada usia 100 tahun.

"Semangat membara beliau memecahkan halangan gender dalam ruang lingkup pekerjaan tanpa perkauman sekali gus mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi mendiang dalam aspek keterangkuman,” katanya dalam kenyataan melalui WhatsApp kepada Bernama.

Dilahirkan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 11 Mac 1923, mendiang Devaki yang memulakan kerjaya sebagai guru, merupakan wanita pertama dalam perkhidmatan awam pada era Tanah Melayu sebelum merdeka apabila beliau dipilih dalam Majlis Perbandaran Bangsar pada 1952.

Mendiang menyertai Parti Kemerdekaan Malaya pada 1951 atas jemputan presiden pengasas parti itu Datuk Onn Jaafar.

Selepas Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur 1952, Devaki menjadi naib presiden MIC yang ketika itu hanyalah sebuah persatuan sosial dan kebajikan.

Anak sulung daripada enam beradik itu antara individu yang terlibat menubuhkan bahagian wanita MIC dan menjadi Setiausaha Wanita MIC Kebangsaan yang pertama pada 1975.

Artikel Berkaitan:

Ketika peristiwa 13 Mei 1969, Devaki sebagai anggota pertahanan awam, bertanggungjawab menguruskan klinik perubatan di Stadium Merdeka dengan memberikan bantuan kepada 3,500 mangsa rusuhan dan gelandangan.

"Pada 1999, mendiang memainkan peranan penting dalam pindaan Akta Penjagaan Kanak-Kanak yang memperjuangkan hak ibu tunggal dalam penjagaan anak,” kata Prabhakaran.

Menurut beliau, jasa Devaki akan terus dikenang dan mendiang kekal sebagai simbol kekuatan, kepimpinan dan pejuang keadilan sosial dalam masyarakat Malaysia yang pelbagai lapisan. - Bernama