Kerugian projek saluran paip gas berjaya dikurangkan kepada RM3 bilion

KUALA LUMPUR – Kerajaan berjaya mengurangkan kerugian negara daripada RM8 bilion kepada RM3 bilion hasil rundingan semula dengan China berhubung pembiayaan dua projek saluran paip yang bermasalah sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan kerugian sebanyak RM5 bilion itu dicapai menerusi perjanjian penyaluran semula pinjaman bagi projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP).
“Kalau kita tak teruskan perjanjian tersebut, kerugian keseluruhannya adalah RM8 bilion. Walaupun perjanjian itu dilakukan, ada juga sedikit kerugian, terutama kerana projek itu sebahagian kecil telah dijalankan.
“Perjanjian penyaluran semula pinjaman dimeterai mengurangkan kerugian negara kepada RM3 bilion. Jadi kita dapat balik sekitar RM5 bilion daripada projek Perak dan bekalan air ke Pulau Pinang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) mengenai langkah kerajaan mendapatkan semula wang yang telah dibayar bagi projek TSGP dan MPP walaupun kemajuan kerja kedua-duanya masih rendah.
Anwar berkata, perjanjian penyaluran semula pinjaman bernilai RM5 bilion itu dimeterai pada 30 Oktober lalu antara Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) dengan Export-Import Bank of China (CEXIM).
Menurutnya, pembiayaan berkenaan kini dapat dimanfaatkan bagi melaksanakan Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS) serta projek bekalan air ke Pulau Pinang.
Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua projek saluran paip asal bernilai RM9.4 bilion diluluskan secara rundingan terus pada 1 November 2016 tanpa melalui proses tender terbuka.
Katanya, projek tersebut mendapat pembiayaan CEXIM sebanyak 85 peratus daripada nilai kontrak dengan jaminan kerajaan, namun pembayaran kepada kontraktor dibuat mengikut jadual masa dan bukannya kemajuan sebenar pembinaan.
“Pada tahun 2018 sebanyak RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada nilai kontrak telah dibayar kepada kontraktor sedangkan kemajuan kerja dilaporkan bagi kedua-dua projek itu hanya 13 peratus.
“Jadi bagi saya ini salah laku, tatakelola yang serius. Ini juga menyebabkan akhirnya pada tahun 2018 kerajaan ketika itu tidak ada pilihan (dan) membatalkan projek. Tetapi bayaran obligasi ikut undang-undang dan jaminan terpaksa diteruskan. Bayaran balik pinjaman kepada CEXIM berjumlah RM8 bilion,” dakwanya.
Menurutnya, beberapa Perdana Menteri terdahulu telah berusaha mengadakan rundingan dengan China, namun tidak berhasil sebelum beliau membangkitkan semula perkara itu pada 2024.
Beliau berkata, usaha tersebut mendapat perhatian Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang, sebelum persetujuan penyaluran semula pinjaman berjaya dimeterai.
“Sebab itu saya merakamkan penghargaan atas kerjasama negara China dan CEXIM kerana walaupun perjanjian itu tidak memihak kepada kita, pihak mereka menerima rayuan. Kita dapat pulangan RM5 bilion daripada kerugian besar,” katanya.
Mengenai projek bekalan air di Perak dan Pulau Pinang, Anwar berkata, pelaksanaannya melibatkan penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah serta kerja menaik taraf infrastruktur sepanjang Sungai Kurau dan Terusan Besar.
Menurutnya, projek itu dijangka menyediakan kapasiti bekalan air sebanyak 700 juta liter sehari untuk Perak, termasuk kawasan perindustrian Kerian, selain 300 juta liter sehari untuk Pulau Pinang.
Katanya, sebanyak 500 juta liter sehari air mentah turut disediakan bagi tujuan pengairan pertanian, manakala kerja pembinaan projek akan dilaksanakan melalui proses tender terbuka dengan penglibatan kontraktor tempatan.
Sementara itu, Anwar menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan turut mengambil langkah lain bagi memenuhi keperluan infrastruktur Sabah selepas pihak China tidak bersetuju meneruskan projek saluran paip gas di negeri tersebut buat sementara ini.
"Kerajaan Persekutuan telah memutuskan supaya projek di Sabah diteruskan dengan beberapa langkah lain termasuk projek bekalan elektrik dan saluran paip yang keseluruhannya hampir mencecah RM5 bilion ringgit keseluruhannya," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

