PM ucap takziah kepada keluarga mendiang Devaki

Hantaran Facebook Anwar pada Ahad.
Hantaran Facebook Anwar pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Tan Sri Devaki Krishnan yang meninggal dunia pada malam Sabtu di usia 100 tahun.

Menerusi hantaran di Facebook pada Ahad, Anwar turut melahirkan dukacita di atas pemergian wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia itu.

"Devaki adalah sosok penting dalam sejarah perjuangan mengangkat martabat wanita dalam kepimpinan dan politik negara, sanggup mengabadikan hayatnya demi masyarakat.

"Jasa dan pengorbanan mendiang akan dikenang buat selamanya. Takziah kepada keluarga mendiang," katanya.

Berita pemergian mendiang sebelum itu dikongsikan cucunya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan.

Menurut Ramanan, mendiang Devaki merupakan seorang tokoh wanita berpengaruh dalam politik Malaysia sehingga diberi gelaran 'Grand Dame of Malaysian Indian Politics' dan hayatnya diabdikan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Devaki dilahirkan pada 11 Mac 1923 memulakan karier sebagai guru sebelum memenangi kerusi dalam Majlis Perbandaran di Kuala Lumpur pada 1952, sekali gus menjadi wanita pertama Malaysia dipilih sebagai penjawat awam.

Mendiang yang dilahirkan di Port Dickson, Negeri Sembilan terlibat dalam politik pada 1950 dan menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 1951 atas jemputan presiden pengasas parti itu Datuk Onn Jaafar.

Artikel Berkaitan:

Devaki juga pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Ahli Lembaga Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Naib Presiden Persatuan Wanita Asia Pan Pasifik dan Asia Tenggara, serta Ahli Majlis Majlis Kebangsaan Pertubuhan Warga Emas Malaysia.

Mendiang juga merupakan wanita India pertama dianugerahkan gelaran Tan Sri pada 1995 serta pernah menerima pelbagai anugerah sepanjang hayatnya termasuk Tokoh Wanita dan Pingat Emas Tun Fatimah daripada NCWO.