Agong, Raja Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Devaki

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Devaki. Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Devaki. Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tan Sri Devaki Krishnan, wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia, yang meninggal dunia pada 20 Januari lepas.

Turut menzahirkan ucapan takziah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istana Negara dalam hantaran di Instagram hari ini memaklumkan, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Devaki selain berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka berdua menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada masyarakat dan negara serta menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada perkhidmatan awam Malaysia,” menurut hantaran itu.

Devaki yang menghembuskan nafas pada usia 100 tahun, adalah tokoh wanita berpengaruh dalam politik negara sehingga diberi gelaran Grand Dame of Malaysian Indian Politics dan beliau telah mengabdikan seluruh hayatnya untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Devaki yang dilahirkan pada 11 Mac 1923 di Port Dickson, Negeri Sembilan, memulakan karier sebagai guru sebelum memenangi kerusi dalam Majlis Perbandaran di Kuala Lumpur pada 1952 sekali gus menjadi wanita pertama dipilih sebagai penjawat awam.

Mendiang menceburi arena politik pada 1950 dan menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 1951 atas jemputan Presiden Pengasasnya iaitu Datuk Onn Jaafar.

Selepas Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur 1952, Devaki menjadi Naib Presiden MIC yang ketika itu hanyalah sebuah persatuan sosial dan kebajikan.

Artikel Berkaitan:

Anak sulung daripada enam beradik itu adalah antara individu yang terlibat dalam penubuhan bahagian wanita MIC dan melakar sejarah sebagai Setiausaha Wanita MIC Kebangsaan pertama pada 1975. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!