Lapan keldai akaun ditahan, babitkan kerugian lebih RM600,000

Suspek berusia 19 hingga 51 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang dan Selangor. Foto hiasan
Suspek berusia 19 hingga 51 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang dan Selangor. Foto hiasan
A
A
A

BALIK PULAU - Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita warga tempatan dipercayai menjadi keldai akaun kepada beberapa sindiket penipuan sehingga menyebabkan lapan mangsa kerugian RM623,834.70 di daerah Barat Daya, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, mereka berusia 19 hingga 51 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang dan Selangor oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya semalam.

"Daripada lapan individu ditahan itu, tiga kes membabitkan jumlah kerugian besar oleh mangsa iaitu kes pertama membabitkan penahanan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun di Pandamaran, Selangor yang menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan panggilan.

"Dalam kes itu, mangsa membuat laporan polis di Bayan Baru di sini selepas terpedaya dengan sindiket penipuan tersebut dan membuat 26 transaksi secara dalam talian ke akaun bank membabitkan jumlah kerugian RM349,000," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, kes kedua membabitkan lelaki berusia 38 tahun ditahan di Bayan Baru dipercayai keldai akaun kepada sindiket urusan pembelian rumah sehingga mangsa kerugian RM216,000.

Kamarul Rizal berkata, bagi kes ketiga, mangsa kerugian RM75,902.70 selepas terpedaya sindiket penipuan komisen kerja dalam talian setelah membuat beberapa transaksi dalam talian ke akaun bank.

Katanya, dalam kes itu polis menahan lelaki berusia 22 tahun di Seri Kembangan, Selangor.

"Manakala lima lagi individu ditahan kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan berasingan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM6,444 hingga RM19,200," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua mereka direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama